Selangorkini
SASTERA

TUN MINUM ARAK

OLEH Syafiq Ghazali

TIADA siapa yang tahu bahawa, saya, Syafiq Ghazali, penulis cerita ini, pernah satu ketika dahulu diculik makhluk asing. Jujurnya saya mahu pendamkan cerita ini kerana, sekalipun ia realiti, pada skala logiknya ia absurd. Tapi akhirnya saya buat keputusan untuk ceritakannya kerana seseorang perlu tahu kebenaran bahawa mereka wujud, dan juga kerana saya kini mempunyai sedikit reputasi untuk buat orang percaya pada apa-apa yang saya tulis.

Waktu itu umur saya lapan tahun, dan pada satu petang, ketika bermain sorok-sorok, saya telah menemui segumpal kertas di tempat persembunyian saya—sebuah tanah terbiar yang dipenuhi semak-samun. Saya tidak sepatutnya bersembunyi di situ kerana ia jauh dari lokasi permainan kami, tapi saya memilihnya kerana rumput di situ sangat panjang, hingga melebihi ketinggian saya panjangnya, dan saya fikir ia tempat ideal untuk saya tidak ditemui oleh rakan yang sedang mengira hingga ke angka 50 saat itu.

Saya buka gumpalannya dan mendapati ia adalah kertas A4 yang mengandungi fotokopi keratan surat khabar. Saya sudah pandai membaca waktu itu, jadi saya membaca apa yang tertulis padanya serupa seorang budak yang berbangga dengan kemampuan membacanya—lancar dan tanpa tersekat-sekat.  Tajuknya, dicetak dengan huruf besar seolah-olah ia adalah luahan yang serius, tertulis TUN MINUM ARAK, dan di bawah tulisan itu adalah foto kurang jelas yang memaparkan Tun berada di dalam sebuah dewan hotel, sedang duduk di meja makan mewah bersama beberapa orang yang memakai kemeja kot. Di hadapan setiap mereka tersedia gelas berisi cecair yang berbentuk langsing pada pemegangnya dan bulat telur di atasnya. Di tepi foto itu dan memanjang hingga ke bawah adalah huraian berita yang sudah tidak lekat dalam ingatan saya kerana bertahun-tahun sudah berlalu.

Saya jadi lupa pada permainan sorok-sorok itu dan terus pulang ke rumah, membawa sekali kertas itu. Saya hulurkannya kepada ibu yang sedang menonton berita di tivi. Selesai dia membacanya, saya bertanya jika ia benar, bahawa Tun minum arak? Ibu memandang saya dengan kerut di dahi dan bertanya, dengan suara sarat autoriti, di mana saya dapatkan kertas itu.

Saya beritahu dari mana saya dapatkannya, dan bertanya sekali lagi jika ia benar. Masih dengan kerut di dahi, ibu arahkan saya supaya letakkan balik kertas itu di tempat asalnya.

Saya tak buat begitu. Sebaliknya saya simpan kertas itu di dalam beg dan membawanya ke sekolah keesokannya. Saya tunjukkan kertas itu kepada cikgu matematik saya kerana dia merupakan cikgu paling baik yang pernah mengajar saya waktu itu (dia tidak pernah marah walau kelas kami bising). Namun jawapan yang saya harapkan daripadanya ternyata hanyalah pengulangan soalan ibu pada hari sebelumnya. Saya beritahu dari mana saya dapatkannya dan bertanya tentang kesahihan berita itu. Mengusap-ngusap kepala saya sambil tersenyum, cikgu meminta saya meletakkan kembali kertas itu di lokasi asalnya.

Dan itulah yang saya lakukan: selepas sekolah saya terus ke tanah terbiar itu dan menyusup antara celah rumputnya yang panjang. Sampai di tempat yang saya kira adalah lokasinya, saya terkejut apabila mendapati terdapat lebih banyak kertas yang serupa, kali ini bertimbun dalam sususan yang rapi.

Pada ketika itulah, pada ketika saya menghampiri timbunan kertas itu, satu cahaya menyeluruhi tubuh saya dari atas. Saya hanya mendongak waktu cahaya itu menarik tubuh saya perlahan-lahan ke udara. Kemudian saya terhidu bau gas. Beberapa detik selepas itu kesedaran saya hilang.

Sebaik terjaga dan otak saya bekerja semula, saya dapati saya sedang terbaring di atas sesuatu yang menyerupai katil empat segi, cuma ia berwarna kelabu dan solid. Saya cuba bangun tapi tak mampu seolah-olah tubuh saya telah dibius anestetik. Jadi saya sekadar mampu menoleh ke kanan dan ke kiri, dan apa yang saya lihat adalah apa yang selalu kita lihat di dalam tivi: sebuah ruang dalaman kapal angkasa yang dipenuhi konsol, skrin, butang, punat, dail.

Kemudian kedengaran satu suara entah dari mana. Selamat datang ke kapal angkasa kami, kata suara itu lembut. Kami adalah penduduk dari planet Tralfamadore, kata satu suara lagi, juga lembut tapi sedikit berbeza tona suaranya dari yang sebelum itu. Saya menoleh ke kiri kanan untuk mencari punca suara, dan bagaikan mengerti kelakuan saya itu, suara di permulaan tadi memberitahu bahawa saya boleh mendengar suara mereka namun tidak tubuh mereka. Itu kerana tubuh mereka berada di dimensi keempat (hanya setelah dewasa baru saya mengerti maksudnya).

Suara mereka lembut, betul, tapi saya tetap berasa takut, dan perlahan-lahan tubuh pegun saya menggigil-gigil dan air mata saya mula mengalir. Air mata ketakutan.

Suara yang satu lagi berkata bahawa saya telah dipilih mereka secara rawak untuk dibawa ke Tralfamadore dan dimasukkan ke dalam zoo bagi dipamerkan kepada penduduk di sana. Penduduk Tralfamodore, menurutnya lagi, sangat sukakan manusia kerana kepelbagaian emosi mereka. Mereka juga suka melihat manusia kencing dan berak, dua sifat alami yang mereka tidak miliki.

Pada ketika itulah saya mula menangis kerana terbayangkan rupa zoo yang kotor dan rasa diperhatikan ketika berak. Saya tidak pasti berapa lama saya menangis namun ia cukup lama untuk membuatkan dua suara itu merasa serabut.

Setelah satu jeda yang panjang (seolah-olah mereka sedang berbincang), salah satu suara itu beritahu bahawa saya akan dihantar semula ke Bumi kerana tidak menepati piawaian emosi yang telah ditetapkan mereka.  Namun sebelum itu, mungkin sebagai satu bentuk hukuman, mereka beritahu bahawa mereka telah lihat ke masa hadapan dan menyatakan bahawa suatu hari nanti saya akan mati kerana sakit jantung. Saya percayakannya.

Selepas itu sekali lagi saya tercium bau gas. Bila saya terjaga saya dapati saya sedang terbaring di celah-celah rumput panjang, di tanah terbiar itu. Saya bangkit dan melihat sekeliling. Timbunan kertas A4 itu tidak lagi kelihatan. Masih dihurung ketakutan, saya lantas melarikan diri ke rumah. Saya demam untuk beberapa hari, tanpa sesiapa pun tahu puncanya.

Bertahun kemudian, setelah dewasa, saya temui semula nama Tralfamadore di dalam sebuah novel—Slaughterhouse-Five. Membacanya, ia buat saya percaya bahawa Kurt Vonnegut juga pernah diculik makhluk planet itu pada suatu ketika dalam hidupnya. Dan boleh jadi dia juga menangis seperti saya.

Soal Tun minum arak, ibu dan cikgu saya tidak pernah lagi bertanya tentangnya, seolah-olah berita itu hanya saya baca di dalam kepala saya sendiri. Tapi saya tak lagi peduli, pada saat itu dan bertahun-tahun kemudiannya. Apabila kau diculik makhluk asing, apa-apa yang datang sebelum dan selepas itu tidak lagi penting. Cuma sesetengah orang menulis tentangnya untuk dibaca orang lain.


Pengarang :