Selangorkini
GLOBAL

Ujian ICBM Korea Utara nyaris kena pesawat Air France

GLOBAL 6 OGOS: Peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) milik Korea Utara yang dilancarkan baru-baru ini nyaris mengenai sebuah pesawat penumpang milik syarikat penerbangan Perancis, Air France.

Akhbar Online Express melaporkan lebih 300 penumpang berada dalam Penerbangan 293 yang berlepas dari Tokyo menuju ke Paris apabila peluru berpandu ICBM Pyongyang terbang melepasinya dan jatuh ke dalam laut dekat Jepun pada 28 Julai lalu.

Insiden itu disahkan sendiri oleh Air France dan Pentagon yang memberi amaran bahawa ujian peluru berpandu Korea Utara secara sewenang-wenangnya mengancam ratusan nyawa setiap kali pesawat penumpang terbang di kawasan berkenaan.

Jurucakap Pentagon, Kapten Jeff Davis berkata, pesawat penumpang itu terbang menyeberangi kawasan tersebut beberapa minit selepas misil ICBM Korea Utara meletup di dalam laut.

Air FRANCE“Peluru berpandu itu terbang melalui ruang udara sibuk yang digunakan oleh pesawat-pesawat komersial.

“Misil itu jatuh dalam zon ekonomi eksklusif Jepun iaitu kawasan laluan kapal nelayan dan komersial,” kata Davis

Dalam pada itu, Air France berkata, pihaknya akan menganalisis situasi itu tetapi menegaskan, zon ujian peluru berpandu Korea Utara biasanya tidak mendatangkan gangguan kepada laluan penerbangan pesawatnya.

=EZY=


Pengarang :