Selangorkini
PENDIDIKAN SELANGOR

UNISEL sedia hantar pelajar ke misi luar negara

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 OGOS: Univerisiti Selangor (UNISEL) bersedia menghantar pelajarnya yang terlibat dalam aktiviti sukarelawan untuk menyertai misi kemanusiaan dan keamanan ke luar negara.

Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, program itu akan dilaksanakan selepas beberapa misi dalam negara selesai terlebih dahulu.

Katanya, ia sebahagian usaha UNISEL membabitkan pelajar dalam program sukarelawan, termasuk menjalin kerjasama dengan GPM Global Peace Malaysia.

“GPM adalah badan sukarela yang terkenal kerana penglibatannya dalam tempoh panjang dan pelopor kegiatan sukarelawan dalam juga luar negara.

“Kita menjangkakan mereka terlibat dengan kegiatan dalam negeri dahulu dan selepas ini kita memikirkan bagaimana menghantar mereka ke luar negara berserta latihan untuk melengkapkan mereka sebagai sukarelawan berjaya serta berkesan bila berada di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UNISEL dengan GPM di Kampus UNISEL Shah Alam, di sini, hari ini.

Katanya, langkah itu mewujudkan kesedaran kepada pelajar bahawa mereka bukan sahaja memberi sumbangan bersifat akademik di dalam bilik kuliah tetapi termasuk di luar bilik kuliah.

“Pada masa ini, UNISEL berjaya menjalankan lebih 200 aktiviti sukarelawan termasuk membantu mangsa banjir di Hulu Langat dan aktiviti sukarelawan di Selatan Thailand juga Indonesia,” katanya.


Pengarang :