Selangorkini
EKONOMI

Usahawan disaran daftar harta intelek elak dieksploitasi

KUALA LUMPUR 26 OGOS: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menyarankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) segera mendaftarkan harta intelek masing-masing bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ketua Pengarahnya Datuk Shamsiah Kamaruddin berkata, gesaan itu dibuat kerana PKS di negara ini masih kurang kesedaran mengenai kepentingan untuk mendaftarkan harta intelek berbanding syarikat besar.

“Sasaran kami adalah untuk memberi pendedahan kepada golongan ini (PKS) mengenai kepentingan perlindungan harta intelek seperti cap dagangan, paten, reka bentuk perindustrian, petunjuk geografi (GI) dan hak cipta mereka agar ia tidak mudah ditiru atau diciplak oleh pihak lain.

“Antara sebab usahawan PKS ini tidak membuat perlindungan harta intelek adalah kerana kekurangan pengetahuan tentang harta intelek produk mereka selain mempunyai tanggapan bahawa proses perlindungan harta intelek adalah rumit dan melibatkan kos yang tinggi,” katanya lapor BERNAMA.

Sementara itu, Shamsiah berkata jumlah pendaftaran harta intelek masih lagi didominasi oleh syarikat dari negara asing seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun berbanding syarikat tempatan.

Katanya bagi 2017 sehingga Julai lalu, sebanyak 15,093 pendaftaran diterima daripada syarikat dari negara asing manakala 8,226 pendaftaran bagi syarikat tempatan.

Tidak kira kecil atau besar syarikat, pendaftaran harta intelek adalah penting kerana ia merupakan milik atau hak eksklusif bagi membolehkan pihak terbabit mendapatkan bayaran royalti jika digunakan pihak lain, katanya.

MyIPO adalah agensi yang dipertanggungjawabkan melindungi hak harta intelek di Malaysia bagi membantu rakyat tempatan terutama usahawan tradisional dan juga dalam talian untuk mendaftar dan melindungi harta intelek mereka.

=EZY=


Pengarang :