Selangorkini
SELANGOR

Yaakob cabar PM letakkan Noh Omar bertanding di Kota Anggerik

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 OGOS: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya Umno menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Shah Alam bagi menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) di Selangor baru-baru ini menerima reaksi daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari.

Yaakob dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di akaun laman sosial facebook berkata, Najib hendaklah mengarahkan Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar bertanding di kerusi DUN Kota Anggerik yang dimenanginya sejak dua penggal lalu.

“Dalam ucapannya PM menyatakan jika UMNO nak tawan Selangor, UMNO kena tawan DUN di Shah Alam.

YAAKOB“Jika benar PM Yang diselimuti skandal 1MDB nak tawan Selangor, arahkan Noh Omar bertanding di kerusi DUN, memandangkan beliau Pengerusi UMNO Selangor dan oleh kerana Noh Omar juga tinggal di Shah Alam, minta Noh Omar bertanding di DUN Kota Anggerik. Biar orang bandar menilai Noh Omar Dan UMNO,” tulisnya.

Yaakob turut menempelak tindakan Najib menabur pelbagai janji kepada penduduk Shah Alam.

Jelasnya, sebagai Perdana Menteri, Najib sepatutnya boleh melaksanakan sesuatu perkara pada bila-bila masa tanpa perlu berjanji ekoran beliau dan Umno-BN memiliki kuasa memerintah.

“Sebagai PM tak payah banyak berjanji, buat sahaja, kami menunggu agar semuanya siap sebelum Disember ini,” katanya.

=EZY=


Pengarang :