Selangorkini
SELANGOR

Yayasan Selangor teroka bidang baru

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 OGOS: Pengurusan Yayasan Selangor kini meluaskan operasi ke pelaburan komersial dan pembangunan hartanah secara optimum bagi menambah dana menampung pelajar tajaannya.

Pengurus Kanan Yayasan Selangor, Zahura Zakry berkata, ia termasuk projek perumahan dengan anggaran pulangan RM15 juta serta pulangan 25 peratus daripada keuntungan pembangunan kasar.

Katanya, ia adalah projek pembangunan bersama Kumpulan Hartanah Sdn Bhd di atas tanah berkeluasan 7.5 ekar di Kundang.

“Begitu juga projek pembangunan sekolah antarabangsa seluas 17 ekar di Rimba Templer dengan pulangan RM68,000 sebulan.

“Semua hasil pendapatan ini akan disalurkan untuk pembangunan pendidikan lebih mapan dan efisien bagi perancangan strategik lima tahun akan datang,” katanya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2016, baru-baru ini.

YAYASAN SELANGOR INTEKMA (9)Zahura berkata, projek lain termasuk tanaman sawit di Pulau Carey dengan Yayasan Selangor berjaya memperoleh 85 peratus daripada sasaran tahun ini.

Katanya, 100 ekar tanah Yayasan Selangor di Ulu Bernam juga sudah disewakan untuk projek ternakan ikan.

“Antara projek yang sudah diiklankan secara ‘Request For Proposal’ adalah projek pembangunan semula Bangunan Bukit Bintang, projek pembangunan PT647 di Pulau Carey untuk pembangunan industri seluas 1,200 ekar dan projek pembangunan tanah seluas 1.1 ekar di Shah Alam untuk dijadikan ibu pejabat Yayasan Selangor.

“Projek lain termasuk pembangunan tanah Bukit Tinggi (satu ekar), Klang (16.59 ekar), Dengkil (15 ekar), Kuala Kubu Bharu (10 ekar) dan Ulu Yam (68 ekar),” katanya.


Pengarang :