GLOBAL

22 cedera serangan stesen kereta api metro London

LONDON 16 SEPT: Polis Britain berkata bahawa sebutir bom digunakan dalam letupan di sebuah stesen kereta api metro di London yang mencederakan 22 orang semalam.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan pihak berkuasa menganggap kejadian itu serangan pengganas.

“Kami mendapati letupan berpunca daripada bom buatan sendiri,” kata ketua unit polis antikeganasan, Mark Rowley.

Polis London kini dibantu agensi perisikan dalam negeri, MI5, katanya.

21742927_10213617228845785_1860627877191256240_nPenumpang sebuah kereta api menuju ke kota raya London bertempiaran lari apabila api membakar sebuah gerabak di stesen kereta api bawah tanah Parsons Green, London Barat pada pukul 8.20 pagi (waktu tempatan).

Beberapa saksi berkata, sebahagian penumpang mengalami melecur dan kecederaan lain akibat rempuhan semasa mereka lari menyelamatkan diri.

Menurut perkhidmatan ambulans London, pihaknya membawa seramai 18 orang ke hospital tetapi tiada mangsa yang parah. Baki mangsa berusaha sendiri untuk mendapatkan rawatan di hospital berdekatan.

Gambar yang dirakam di lokasi kejadian menunjukkan sebuah baldi putih bersama sebuah beg berada di atas lantai sebuah gerabak kereta api tersebut.

21740016_10213617227365748_2491752288896626473_nBaldi itu masih terbakar dan terdapat wayar terjuntai daripada perkakasan itu.

“Saya berada di gerabak kedua dari belakang. Saya mendengar desiran kuat. Saya mendongak dan melihat seluruh gerabak terbakar dan api menuju ke arah saya.

“Ramai orang yang jatuh dipijak semasa melarikan diri. Sebilangan penumpang cedera,” kata saksi kejadian, Ola Fayankinnu.

Seramai 52 orang terbunuh apabila empat militan meletupkan bom bunuh di tiga buah stesen kereta api bawah tanah dan sebuah stesen bas di London pada tahun 2005.

=EZY=


Pengarang :