Selangorkini
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

300 warga Kuang terima bantuan PEKAWANIS & DUN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUANG, 17 SEPT: Seramai 300 warga Kuang menerima bantuan kewangan daripada Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS).

Yang Dipertuanya, Datin Seri Shamshida Taharin berkata, bantuan disasarkan kepada semua kaum di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit.

“Selaras hasrat Kerajaan Negeri untuk tingkatkan kehidupan rakyat Selangor, PEKAWANIS menggerakkan inisiatif untuk turun padang dan mendekati rakyat Selangor yang memerlukan.

“Sasaran kami adalah untuk mendekati semua bangsa terdiri daripada golongan asnaf dan fakir miskin yang memerlukan sokongan dan bantuan daripada pertubuhan ini.

IMG_7853“Selain itu, inisiatif turun padang ini juga bertujuan untuk melihat dan memahami sendiri keperitan hidup yang dialami golongan kurang bernasib baik ini di peringkat bawahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penyampaian Sumbangan PEKAWANIS dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Kuang.

Hadir sama, Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Penyelaras DUN Kuang, Salasiah Disa.

Dalam perkembangan itu, Shamshida yang juga Isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut mendekati masyarakat kurang bernasib baik di Kampung Permata Kundang.

Beliau turut menyampaikan bantuan tunai dan keperluan barangan dapur kepada lima keluarga yang difahamkan menerima bantuan lain daripada Lembaga Zakat Selangor dan pertubuhan kebajikan lain.

Terdahulu, PEKAWANIS komited untuk membantu golongan kurang berkemampuan meneruskan kehidupan seharian secara berterusan.

Pertubuhan kebajikan itu juga optimis mempelbagaikan lagi program ziarah dan serahan bantuan dalam usaha memastikan golongan serba kekurangan di negeri ini mendapat perhatian.

Bantuan terus disalurkan terutamanya ketika menjelang musim perayaan, atau permulaan persekolahan tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik.

=EZY=


Pengarang :