SELANGOR

Belanjawan 2018: Selangor bakal umum dua lagi skim besar perumahan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 SEPT: Kerajaan Negeri dijangka bakal mengumumkan dua lagi skim besar bagi meningkatkan lagi peluang golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata, ini satu lagi bukti kesungguhan Kerajaan Negeri membantu rakyat negeri itu tanpa mengira masa.

“Pada Belanjawan akan datang ada dua program besar yang baru dalam perumahan yang akan kita umumkan. Rakyat tunggulah, kita memang hendak bantu rakyat di mana golongan sasaran adalah mereka berpendapatan rendah dan sederhana.

SELANGOR SOHO - ISKANDAR“Ini bukan gula-gula pilihan raya tetapi seperti yang diketahui memang setiap tahun Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai inisiatif untuk Kerajaan Negeri membantu rakyat tak kira bila-bila masa, tidak bermusim,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, sebelum ini Kerajaan Negeri melancarkan skim Selangor Smart Home Buyers bagi membantu golongan kurang berkemampuan di mana Kerajaan Negeri membiayai kos deposit rumah yang dibeli.

Katanya, pembeli kemudiannya hanya mula membayar semula kepada Kerajaan Negeri dalam suatu tempoh selepas mereka menduduki rumah yang dibeli.

Iskandar turut menggesa supaya Kerajaan Persekutuan mengkaji syarat dan peraturan yang dikenakan Bank Negara Malaysia (BNM) ekoran terdapat ramai pembeli rumah Selangorku berhadapan masalah pinjaman perumahan mereka tidak diluluskan bank.

=EZY=


Pengarang :