Selangorkini
NASIONAL

Belum ada keputusan DNA mangsa kebakaran

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Keputusan Asid deoksiribonukleik (DNA) pelajar tahfiz dan tenaga pengajar yang maut selepas terbabit dalam insiden kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Jalan Keramat, di sini, hanya dapat dikenal pasti dalam tempoh beberapa hari lagi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, proses itu akan mengambil masa kerana membabitkan ramai mangsa.

“Bagi mengenal pasti identiti mangsa, DNA ibu bapa diperlukan dan pihak hospital baru menerimanya pagi tadi, jadi mereka akan menggunakan sepenuh masa untuk mengenal pasti identiti mayat dengan kerjasama Jabatan Kimia dan Jabatan Bencana.

“Setakat ini, semua identiti mangsa belum dikenal pasti,” katanya dalam sidang media di lobi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Katanya, setakat ini seramai tujuh mangsa iaitu enam pelajar termasuk seorang warganegara Indonesia dan seorang orang awam masih dirawat di HKL.

“Kesemua mangsa sedang dirawat di Jabatan Kecemasan HKL membabitkan empat mangsa yang mengalami kecederaan serius, manakala tiga mangsa mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Wad Pemerhati.

“Dua mangsa yang mengalami kecederaan serius sudah dipindahkan ke wad resusitasi di Jabatan Kecemasan,” katanya.


Pengarang :