Selangorkini
BERITA UTAMA GLOBAL

FBI: Saksi 1MDB takut beri keterangan bimbang tindak balas

SHAH ALAM 6 SEPT: Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) menyatakan beberapa individu yang boleh menjadi saksi kepada dakwaan kecurian berbilion dolar melibatkan dana 1MDB tidak berani membantu penyiasat di AS kerana bimbang tindakan balas terhadap mereka.

Agensi Berita Bisnes Antarabangsa BLOOMBERG NEWS melaporkan individu di “beberapa negara asing” yang kini membantu pihak berkuasa dalam siasatan jenayah bimbang akan keselamatan mereka, manakala sebahagian mereka menganggap adalah terlalu bahaya untuk mereka memberi kerjasama.

Ia merupakan antara kandungan permintaan FBI supaya nama pemberi maklumat mengenai dalang di sebalik konspirasi 1MDB dirahsiakan.

FBIIndividu yang sepatutnya bersedia memberikan maklumat berkata mereka bimbang “keselamatan diri dan keluarga mereka”, kata FBI dalam kenyataan difailkan di mahkamah di Los Angeles.

Jabatan Kehakiman AS (DoJ) bulan lalu memohon hakim menangguhkan permohonan sivil merampas pelbagai aset bernilai lebih AS$1 bilion di negara itu, United Kingdom dan Switzerland sementara ia menjalankan siasatan jenayah terhadap dana yang dilarikan daripada 1MDB.

Aset yang menjadi sasaran DoJ diperolehi oleh ahli perniagaan kelahiran Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low; Riza Aziz, anak tiri Datuk Seri Najib Razak; dan Khadem al Qubaisi, bekas pengarah urusan syarikat milik kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co.

Badan amanah yang bertanggungjawab terhadap harta Jho Low, Riza, dan al Qubaisi serta keluarga mereka bagaimanapun mencabar permohonan DoJ.

Menurut FBI, wakil Jho Low menuntut pihak berkuasa AS memberitahu siapa saksi yang akan dipanggil, sumber bukti dan beribu-ribu dokumen berkait siasatan itu.

1mdb-reza-jho-loPihak FBI juga memetik laporan berita Malaysia mengenai penangkapan mereka yang terlibat menyiasat salah laku 1MDB.

Pada 30 Ogos, media Malaysia melaporkan pemandu kepada Tan Sri Abdul Gani Patail, cedera ditembak, kemungkinan ia suatu amaran kepada bekas peguam negara itu supaya tidak bekerjasama dengan pihak berkuasa AS, menurut FBI.

Gani terlibat dalam siasatan awal terhadap 1MDB, menurut maklumat difailkan FBI.

Siasatan di AS merupakan sebahagian daripada usaha antarabangsa menjejak wang sebanyak AS$6 bilion daripada 1MDB yang dilarikan atau terlibat dalam pengubahan wang haram.

Switzerland, Singapura dan Luxembourg merupakan antara negara yang melakukan siasatan termasuk peranan dimainkan bank dan orang perseorangan.

Najib yang mengetuai lembaga penasihat 1MDB sehingga tahun lalu menafikan sebarang salah laku, dan diisytiharkan tidak bersalah oleh peguam negara.

DoJ antara lain mendakwa sebutir berlian bernilai AS$1.29 juta dan loket berlian bernilai AS$3.8 juta yang dihadiahkan Jo Low pada bekas teman wanitanya, pelakon Australia Miranda Kerr, dibeli menggunakan dana yang dicuri daripada 1MDB.

Jho Low juga didakwa menghadiahkan lukisan Picasso bernilai AS$3.2 juta kepada pelakon Hollywood Leonardo DiCaprio, yang membintangi filem “The Wolf of Wall Street” terbitan syarikat diketuai Riza, yang menurut DoJ turut dibiayai wang dilarikan daripada 1MDB.
SUMBER BERITA ASAL: https://www.bloomberg.com/news/articles/2017-09-05/1mdb-stolen-funds-witnesses-are-scared-to-talk-fbi-says

TERJEMAHAN ASAL: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/09/06/saksi-bimbang-bantu-siasatan-jenayah-1mdb-kata-fbi/


Pengarang :