Selangorkini
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Kualiti perkhidmatan penjagaan dipertingkat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 12 SEPT: Seramai 40 peserta menyertai Kursus Penjagaan Orang Kurang Upaya Dan Warga Emas Di Rumah Jagaan Dan Komuniti Negeri Selangor, baru-baru ini.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, ia dianjur bagi mempertingkatkan kemahiran dan kualiti penjagaan ‘care-givers’ iaitu penjaga dan sukarelawan di rumah jagaan dan komuniti.

Katanya, penjaga yang lebih arif dan memahami kaedah penjagaan terbaik dapat memastikan kebajikan warga kurang berkemampuan itu terus terpelihara.

“Ramai penjaga kurang memahami metodologi penjagaan tepat sekaligus membuatkan mereka tidak dapat memberikan perkhidmatan efektif kepada kumpulan sasar.

2017-09-11-PHOTO-00002135“Adalah penting bagi mereka mengetahui kaedah penjagaan terkini dan terbaik secara terperinci dalam mengendalikan golongan ini dengan lebih sempurna.

“Besar harapan kita agar kursus ini memberi manfaat dan meningkatkan kualiti perkhidmatan di seluruh Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Peserta terdiri dalam kalangan penjaga, pelatih dan sukarelawan yang berkhidmat di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), rumah jagaan OKU dan rumah jagaan warga emas milik swasta dan persendirian.

Bertempat di sebuah hotel di Batu Caves, kursus berlangsung sepanjang tiga hari dua malam serta menumpukan perkongsian ilmu dan latihan penting.

Ia merangkumi khidmat jagaan am, nutrisi pemakanan, jagaan fizikal, komunikasi dan rekreasi, tekanan serta teknik mengatasinya dan bantuan awal serta rawatan kecemasan.

=EZY=


Pengarang :