BERITA UTAMA SELANGOR

Kukuh persaudaraan Islam sempena Maal Hijrah 1439H

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 SEPT: Bersempena sambutan Maal Hijrah 1439H, umat Islam diseru menyelami dan menghayati hikmah penghijrahan serta perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan syiar Islam, lebih 1,400 tahun lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, kisah penyatuan persaudaraan golongan Muhajirin dan Ansar berjaya membentuk kekuatan hingga tertubuhnya negara Islam yang mengangkat Islam ke tahap lebih tinggi.

“Sebagai umat Islam, seharusnya kita mengambil iktibar akan peristiwa hijrah ini untuk merenung kembali diri sendiri dan menilai semula amalan sepanjang hidup kita.

“Semoga kita dapat berhijrah ke arah kebaikan, penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Begitu juga kecintaan kepada junjungan besar Rasulullah SAW dapat diperkukuhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Program Ambang Hijrah dan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1439H Peringkat Negeri Selangor di Dewan Solat Bawah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, semalam.

IMG_20170921_213209Katanya, umat Islam hari ini perlu mengenepikan semangat asabiyyah, perbezaan mazhab dan perasaan hasad dengki bagi memastikan ukhwah juga muafakat terus kukuh sehingga menjadi contoh teladan kepada penganut agama lain.

Tema bagi sambutan Maal Hijrah 1439H Selangor adalah ‘Umat Bersatu, Negeri Sejahtera’.

Turut berangkat DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang mewakili DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi; Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim.

Bersempena sambutan ambang Maal Hijrah, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan lima Anugerah Maal Hijrah 1439H.

Anugerah Khas Maal Hijrah 1439H dianugerahkan kepada Dr Osman Sabran, manakala Anugerah Badan Dakwah Sukarela diberikan kepada Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (SALIMAH).

IMG_20170921_213509Selebriti dan pelakon Adam Corrie Lee Abdullah dipilih selaku penerima Anugerah Tokoh Saudara Kita bagi Maal Hijrah 1439H.

Anugerah Aktivis Masyarakat pula diberikan kepada Mahat Tumin dan Mokter Murat dipilih selaku penerima Anugerah Tokoh Keluarga Mithali.

Dalam majlis sama, seramai 16 pelajar dipilih selaku penerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Tengku Idris Shah.

Bersempena sambutan Maal Hijrah 1439H, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah turut membacakan doa akhir dan awal tahun yang dipimpin Imam Besar, Muhammad Farhan Wijaya.

IMG_20170921_213156 IMG_20170921_213255


Pengarang :