NASIONAL

Kumpulan wartawan dan media bidas serangan terhadap Tamil Malar

SHAH ALAM 6 SEPT: Dua kumpulan media dan wartawan membidas dakwaan serangan terhadap pemilik sebuah akhbar harian berbahasa Tamil dan ketua pengarangnya oleh sekumpulan anggota Pemuda MIC.

Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Institut Wartawan Malaysia (IOJ) berkata kekerasan fizikal terhadap agensi berita adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Sebarang rasa tidak puas hati seharusnya disampaikan melalui saluran yang betul, sama ada menggunakan “right of response” (hak menjawab) ataupun melalui saluran undang-undang,” kata Geramm dalam satu kenyataan.

Menurut kumpulan wartawan dan media itu, harus diingat bahawa media mempunyai ruang dan peranan dalam demokrasi untuk menjalankan tugas secara bebas tanpa rasa takut kepada mana-mana parti.

GERAAM“Media bukan musuh kepada parti politik tetapi bukan juga rakan kongsi yang boleh dibeli atau dibuli,” katanya.

Semalam, anggota Pemuda MIC didakwa berkumpul di pejabat akhbar Tamil Malar di Kuala Lumpur sebagai bantahan terhadap akhbar itu yang dikatakan berat sebelah dan memihak pembangkang.

Bagaimanapun, pergelutan kemudiannya tercetus dengan wartawan C Christ mendakwa pemilik akhbar itu OMS Thiagaran dan ketua editor eksekutif Saraswathy Kandasamy diserang dan cedera.

Berada di tempat kejadian itu adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan yang menafikan kejadian seumpama itu.

SUMBER: MALAYSIAKINI

=EZY=


Pengarang :