Selangorkini
SUKANKINI

Liga Super: PKNS FC hampakan Selangor 2 – 1

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 21 SEPT: Jaringan Patrick Ronaldinho Wleh memastikan kemenangan 2 – 1 PKNS FC ke atas Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, di sini, malam tadi.

Gol kedua Semut Merah dihasilkan penyerang import itu pada minit ke 64 selepas mengatasi pertahanan lawan dan membuat percubaan tepat ke dalam jaring.

Perlawanan ke-20 Liga Super itu sebelumnya yang agak perlahan bertukar rancak dengan The Red Giants menggandakan asakan bagi mencari gol penyamaan.

Bagaimanapun PKNS FC yang kembali diperkuatkan dengan kehadiran ketua pasukan, Safee Sali, turut mengancam dengan serangan balas bagi mengugat Selangor.

PKNS FC menangSemut Merah terlebih dahulu mengatasi lawan dengan gol jaringan Shahril Azhar Ture (m25) pada separuh masa pertama.

Namun jaringan yang menggamatkan penyokong pasukan pelawat tidak kekal lama apabila sebelas minit selepas itu Rufino Segovia Del Burgo berjaya mendapatkan gol untuk Selangor menyamakan kedudukan 1 – 1.

Bersambung babak kedua, kedua- dua pasukan memulakan perlawanan dengan berhati-hati tetapi kian rancak dengan gerakan berterusan ke kubu lawan.

Safee Sali memperoleh peluang pada minit ke-48 namun percubaannya tersasar melepasi pintu gol Selangor.

Begitu juga barisan serangan Selangor yang terlepas beberapa peluang terhilang antaranya menerusi Andik Vermanshah (m46).

Jaringan Patrick untuk kelebihan kepada PKNS FC dan kekal hingga ke akhir perlawanan memberikan tiga mata buat pasukan.

Keputusan itu menyaksikan PKNS FC kekal di tangga ke tujuh dengan 24 mata manakala Selangor kelima (30).

KEPUTUSAN LAIN:

JDT 3 – 0 Kelantan
Kedah 1 – 3 Felda United
Melaka United 3 – 1 Perak
Pahang 3 – 0 Sarawak
PPinang 0 – 2 T-Team


Pengarang :