Selangorkini
NASIONAL

MAPIM kumpul tandatangan desak lucut Nobel Keamanan Suu Kyi

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 SEPT: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melancarkan kempen mengumpul 1,000 tandatangan bagi menuntut anugerah Nobel Keamanan ditarik daripada Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi.

Tindakan itu dilakukan berikutan kenyataannya menafikan pemusnahan etnik dan genocide ke atas etnik Rohingya sejak Burma mendapat kemerdekaan pada 1948 yang menunjukkan beliau bersekongkol serta menyokong perlakuan ganas tentera Myanmar dan ekstrimis Buddhis menindas kaum berkenaan.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata pihaknya berpandangan Suu Kyi telah mengkhianati erti anugerah Nobel Keamanan dan beliau tidak layak memilikinya.

MAPIM - AZMI HAMIDMaka dengan itu, katanya anugerah diterimanya pada 1991 perlu dilucut serta merta.

“MAPIM mengesa semua pihak mempunyai rasa peri kemanusiaan dalam kalangan tokoh masyarakat di Malaysia perlu bersama menyokong petisyen yang akan dihantar kepada Jawatankuasa Nobel Keamanan di Sweden untuk melucut anugerah itu.

“Kita menyasarkan mengumpul 1,000 tandatangan pimpinan masyarakat antaranya Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, tokoh masyarakat, pemimpin agama, ahli profesional dan cendikiawan serta sasaran ini diharap dapat dicapai pada hujung Oktober ini,” katanya.

Mohd Azmi berkata, kenyataan Suu Kyi menggambarkan beliau mengakui penggunaan nama Rohingya sebagai panggilan ditolak di Myanmar dan beliau lebih selesa dengan tuntutan junta Myanmar bahawa Rohingya dipanggil “Bangeli” yang sama sekali tidak boleh diterima serta dibantah etnik Rohingya.

aung-san-suu-kyi-Katanya, Suu Kyi jelas tidak merasa bersalah apabila bayi, kanak-kanak dan wanita dari kalangan etnik Rohingya diperlaku dengan kejam.

“Malah beliau tunduk kepada puak ekstrimis Buddhis diketuai Ashin Wirathu yang menghalalkan pembunuhan, pengusiran, penafian hak manusia, perampasan harta benda etnik Rohingya.

“Beliau turut memperakui setiap pengganut Buddha wajar menjaga kepentingan agama dan tanah air Myanmar yang didakwa hanya milik penganut Buddha hatta dengan tindakan pemusnahan etnik dan genocide yang melanggar undang- undang antarabangsa dan hak manusia.

“Lantaran itu apa sahaja hak kemanusiaan untuk etnik Rohingya yang dijamin Deklarasi Universal Hak Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu termasuk hak hidup, hak undang-undang, hak agama, hak budaya dan hak politik, kini dinafikan beliau tanpa ada sedikit pun peri kemanusiaan,” katanya.


Pengarang :