Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Tanah hak rakyat, selesaikan pemilikan segera

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 SEPT: Kerajaan Negeri menegaskan rakyat berhak memiliki tanah di Selangor dan menjadi keutamaan meluluskannya supaya mereka tidak menunggu lama bagi memperolehnya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata penyerahan notis 5A kepada penduduk Kampung Melayu Subang Tambahan adalah tindakan Kerajaan Negeri yang mahu masalah pemilikan tanah berlarutan sekian lama diselesaikan segera.

“Tanah ini adalah hak mereka dan tak perlu diminta maka sebagai sebuah kerajaan peduli rakyat, ia mesti diserahkan kepada rakyat.

“Saya rasa terkilan kerana mereka menunggu lebih dua dekat hanya semata-mata untuk mendapat sebidang tanah,” katanya dalam Majlis Penyerahan Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Notis 5A) Kampung Melayu Subang Tambahan di sini, semalam.

TanahBeliau berkata, berbanding pentadbiran sebelumnya, Kerajaan Negeri ketika ini memberi keutamaan kepada perkara itu dan menjadi antara agenda penting dibincang serta diluluskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) setiap minggu.

Katanya, Kerajaan Negeri pada hari ini hanya akan meluluskan permohonan memiliki tanah kepada rakyat dan tidak kepada pimpinan politik.

“Kita pernah dengar sebelum ini pimpinan politik bukan dapat sebidang tanah tetapi berpuluh ekar, itu realiti yang tiada mana-mana pihak boleh menafikan.

“Saya berani nyatakan dengan tegas di hadapan rakyat Selangor, pemimpin tidak boleh dan berhak mendapat tanah di dalam negeri ini kerana ini adalah hak rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pembangunan pesat di Selangor menyebabkan nilai tanah meningkat begitu tinggi maka Kerajaan Negeri memberi kelonggaran menerusi bayaran premium RM1,000 dengan syarat rakyat tidak menjual tanah dimiliki.

Dalam majlis itu, seramai 64 orang menerima notis 5A daripada Mohamed Azmin.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Khairuddin Othman; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim; Pegawai Daerah Petaling, Dato’ Misri Idris; Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Kota Damansara, Razlan Jalaluddin dan hadirin lain.

=EZY=


Pengarang :