Selangorkini
NASIONAL

Merdekakan rakyat, hapus tol Batu Tiga

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 SEPT: Kerajaan Persekutuan digesa memerdekakan rakyat daripada bebanan tol Batu Tiga seterusnya mendedahkan maklumat perjanjian konsesi yang sekian lama dirahsiakan.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Rodziah Ismail berkata, rakyat berhak tahu mengapa ia diteruskan sedangkan tol terbabit sepatutnya dihapuskan ketika perjanjian tamat, pada 2018 dan tidak perlu diperbaharui.

“Amat pelik kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada syarikat konsesi untuk mengawal harga tol.

“Kerajaan Persekutuan membayar berbilion ringgit pampasan kepada konsesi lebuh raya tanpa diketahui apakah tujuan pampasan itu sebenarnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Batu Tiga berkata, perjanjian tol itu juga berat sebelah dan sekadar memberi kelebihan kepada syarikat konsesi.

RodziahKatanya, jumlah pampasan kepada syarikat konsesi juga lebih tinggi daripada kos pembinaan lebuh raya berkenaan.

“Perubahan pentadbiran di Putrajaya akan menyaksikan penghapusan semua tol secara berperingkat termasuk Tol Lebuhraya Persekutuan II, Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau.

“Pakatan Harapan adalah penghapus kutipan tol tidak munasabah,” katanya.

Sebelum ini, Plus Malaysia Berhad (PLUS) berkata, perjanjian konsesi asal kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau sepatutnya berakhir, pada 2018 tetapi dilanjutkan sehingga 2038.


Pengarang :