Selangorkini
SELANGOR

Miliki Balairaya JKKK selepas 45 tahun menanti

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KAJANG, 10 SEPT: Setelah hampir 45 tahun, Kampung Bukit Angkat kini memiliki Balairaya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pertama bagi kegunaan penduduk disekitar itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, sebanyak RM230,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk membangunkan pusat komuniti itu.

Katanya, sebelum ini kampung tersebut diabaikan kerajaan terdahulu iaitu ketika pentadbiran dibawah Barisan Nasional (BN).

“Sebelum ini, kampung ini tiada sebarang pembangunan mahupun baik pulih dilakukan di kampung ini.

“Namun setelah Kerajaan Pakatan mengambilalih, kita peruntukkan RM1 juta sepanjang dua penggal kita tadbir untuk menaik taraf infrastruktur dan membangunkan kemudahan di kampung ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan Balairaya JKKK Kampung Bukit Angkat, Kajang, di sini, hari ini.

Ean berharap dengan adanya pusat komuniti itu lebih memudahkan penduduk di kawasan itu melaksanakan sebarang aktiviti kemasyarakatan.

=EZY=


Pengarang :