Selangorkini
SUKANKINI

Para ASEAN: Selangor tawar venue sukan negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri sedia memberi kerjasama jika wujud keperluan di peringkat Persekutuan menggunakan venue milik Selangor bagi penganjuran temasya Sukan Para ASEAN, Kuala Lumpur.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri bagaimanapun masih belum dimaklumkan berhubung keperluan itu.

“Setakat ini kami tidak dimaklumkan berkenaan pengunaan venue milik negeri, namun kalau ada permintaan, Kerajaan Negeri akan beri kerjasama.

“Kami tidak mempunyai sebarang masalah,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, pagi ini.

Temasya Sukan Para ASEAN diadakan pada 17 hingga 23 September ini, selepas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) tamat, pada 30 Ogos lalu.

AMIRUDIN SHARIPada temasya KL2017 lalu, antara venue sukan yang diadakan di Selangor membabitkan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Kelana Jaya untuk acara ragbi, Stadium Shah Alam dan Stadium Selayang bagi bola sepak.

Selain itu, beberapa venue milik agensi swasta negeri turut digunakan bagi acara luncur ais di Empire City Mall, Damansara.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menghargai komitmen dan semangat Kerajaan Negeri menzahirkan sokongan terhadap terhadap penganjuran sukan terbesar Asia Tenggara itu.

Penghargaan itu dizahirkan Khairy dalam catatat Twitternya, pada 31 Julai lalu.

Malaysia mensasarkan 103 pingat emas, pada temasya dwitahunan kesembilan itu bagi meletakkan negara sebagai juara keseluruhan.

 


Pengarang :