Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Perkemas IBR, Selangor dahului inisiatif perangi rasuah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 SEPT : Kerajaan Negeri mendahului inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi gejala rasuah membabitkan pengurusan tertinggi pentadbiran negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi pengisytiharan kepentingan yang diwajibkan ke atas semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK) Negeri.

“Kerajaan Selangor merupakan Kerajaan Negeri pertama yang menyambut baik usaha SPRM banteras rasuah dengan menetapkan AMMK menandatangani pengisytiharan pada mesyuarat yang diadakan setiap Rabu.

IMG_6819“Begitu juga dengan Ahli Lembaga Pengarah (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) perlu menandatangani pengisytiharan sebagai jaminan bahawa integriti itu dipertahankan.

“Kaedah ini lebih efektif dan berkesan untuk perangi rasuah di seluruh negeri,” katanya pada sidang media, di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Wan Ramli Wan Abdullah supaya pentadbiran Kerajaan Negeri di seluruh negara menandatangani lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Wan Ramli berkata, inisiatif itu diwujudkan sebagai keperluan jaminan integriti bebas rasuah membabitkan pentadbiran negeri di peringkat tertinggi.

Bagaimanapun Mohamed Azmin berkata, mekanisma pelaksanaan IBR perlu diperkemas bagi membolehkan struktur pemantauan aktiviti rasuah dapat dijalankan sehingga peringkat akar umbi.

“Isunya bukan sekadar untuk angkat tangan dan lafaz ikrar, tetapi bagaimana mekanisma pemantauan amalan rasuah tidak berlaku.

“Jadi saya telah sampaikan kepada SPRM berhubung ketetapan itu, dan mereka telah bersetuju menambah beberapa perkara lain untuk langkah pembaikan,” katanya.


Pengarang :