SELANGOR

Persimpangan bertingkat LDP ke Bandar Puteri ditutup sementara

SHAH ALAM, 25 SEPT: Persimpangan bertingkat dari Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) ke Bandar Puteri akan ditutup sementara hingga Disember tahun depan bagi memberi laluan kerja menaik taraf di laluan itu.

Ketua Pegawai Operasi IOI Properties Group Berhad (IOI Properties) Teh Chin Guan berkata, penutupan laluan masuk ke persimpangan bertingkat membabitkan kenderaan dari arah USJ, Shah Alam, Putra Height dan Putrajaya.

Katanya, pihaknya mengumumkan pelan pelebaran dan kerja naiktaraf persimpangan bertingkat yang memberi manfaat kepada kira-kira 12,000 penduduk di sekitar Bandar Puteri pada 20 Oktober tahun lalu.

“Projek membabitkan kos sebanyak RM20 juta itu dibahagikan kepada dua peringkat dibina dan dibiayai sepenuhnya IOI Properties untuk kemudahan perhubungan di kawasan sekitar.

“Pelan kerja peringkat pertama bagi pelebaran jalan di Lebuh Puteri sudah siap pada April lalu dan kini kerja-kerja peringkat kedua dimulakan. Ia bagi menambah baik aliran trafik di antara LDP dengan Bandar Puteri Puchong,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pusingan U di bawah persimpangan bertingkat Bandar Puteri dan aliran trafik keluar sedia ada dari jalan TPP 1/1ke LDP juga akan ditutup buat sementara.

“Bagi melancarkan aliran trafik, pengguna boleh masuk ke Bandar Puteri menggunakan laluan dari persimpangan lampu isyarat Puchong Perdana atau membuat pusingan U di LDP di depan kawasan komersil di Pusat Bandar Puchong,” katanya.

Selain itu, pengguna dari arah Shah Alam, Putra Height, USJ ke Bandar Puteri Puchong boleh melalui laluan keluar 1119 persimpangan bertingkat Puchong Intan di LDP terus ke persimpangan lampu isyarat Puchong Perdana.

Manakala pengguna dari Taman Perindustrian Puchong boleh menggunakan laluan alternatif sementara yang baru dibina berhampiran jajaran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Castlefield untuk keluar ke LDP.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung penutupan persimpangan boleh melayari laman sesawang www.myioi.com atau ww.ioipropertes.com.my.

=EZY=


Pengarang :