Selangorkini
NASIONAL

Pertemuan Najib umpama menyerah ufti kepada raja

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 SEPT: Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang menyifatkan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump seperti seorang ketua negeri jajahan menghadap raja untuk mempersembahkan ufti.

Beliau dalam kenyataannya berkata, pertemuan Trump-Najib di White House memalukan rakyat Malaysia kerana ia tidak menggambarkan pertemuan dua pemimpin negara berdaulat yang berkedudukan setaraf sebaliknya seperti seorang ketua tanah jajahan bertemu raja dengan membawa hadiah seperti Bunga Mas.

“Najib mendakwa jemputan Trump ke White House merupakan pengiktirafan kepada status Malaysia sebagai ‘bintang yang semakin menyinar’.

Lim-Kit-Siang“Adakah dia sedar bahawa 15 daripada 32 pemimpin negara asing yang pernah dijemput Trump ke White House setakat ini adalah negara yang berada di bawah Ranking Demokrasi Global, metrik menilai 112 negara demokrasi di dunia, termasuk negara seperti Arab Saudi yang secara terbuka tidak mengamalkan demokrasi?” soalnya .

Kit Siang turut mempertikaikan tindakan Najib dan rombongannya yang tinggal selama tiga hari di Trump International Hotel selain mempersoal adakah kos penginapan itu bernilai beratus ribu dolar AS.

Menurutnya, Najib mungkin melanggar peraturan di AS yang melarang seorang presiden menerima hadiah atau pembayaran untuk perkhidmatan yang diberikan oleh kerajaan asing semasa berada di negara itu.

Rabu lalu, akhbar berpengaruh AS, The Washington Post berkata tindakan Najib dan rombongannya menginap di sebuah hotel milik Trump di ibu negara AS itu menimbulkan tanda tanya mengenai konflik kepentingan di White House.


Pengarang :