SASTERA

Pesta Ngulor: Temasya underground di desa

Oleh Hafizol Hakami

NGULOR dari perkataan mengular atau ngulor, selalunya dikaitkan dengan perbuatan negatif seperti bermalas-malasan, curi tulang atau berjalan tanpa hala, tanpa arah.

Penganjur acara seni – Pesta Ngulor, seakan-akan cuba mengolah semula pengertian itu kepada suatu yang menjurus kepada usaha merai jerih keringat anak seni underground yang jujur berkarya, tanpa diselirat kepentingan politik.

Ia juga bersempena tapak penganjuran iaitu Kampung Sungai Ular — dekat dengan pusat pelancongan pantai Cherating walau kampung itu, namanya tidak gah di Kuantan.

Pun begitu, kampung nelayan ini memiliki suasana desa dan budaya tersendiri lantaran terus terpelihara, tidak tercemar dari ‘perangkap’   pembangunan. Ini menjadikannya begitu istimewa. Lebih-lebih lagi, pesta seni itu dijalankan di perkarangan rumah penduduk terawal yang meneroka kampung. Secara tidak langsung, pesta itu menguak nostalgia kedesaan.

Sebagai penduduk kampung nelayan, mereka barang kali agak asing dengan penganjuran budaya diskusi, wacana atau perbahasan ilmiah biarpun ia digerakkan secara santai bagaikan majlis keramaian dalam filem Man Laksa arahan Mamat Khalid.

DSC_1745Ini sekali gus menyemai budaya intelektual dan memberdaya masyarakat di luar Lembah Klang. Kita sedar bahawa pemusatan program bersifat ilmiah di Lembah Klang memerlukan inovasi penganjuran terutama mengambil kira latar budaya dan masyarakat setempat.

Pesta Ngulor sebenarnya anjuran Sarikat Indiea Timor yang aktivis penggeraknya teguh berpegang betapa seni seharusnya mengakar umbi ke segenap ceruk desa, tidak bersifat elitis.

Melalui kerjasama beberapa kumpulan tempatan sekitar Kuantan antaranya Rajawali Art Group, Read On Us, Koya Clothing, Tourism Pahang dan Kula Cakes, pesta itu menarik minat kira-kira 1,500 orang.

Penampilan artis muda seperti Man Kayan, Johan Radzi, Naquib, Aziz Abdul Itar, Sefa, Petak Daud dan ramai lagi membawa ombak pemikiran baru kepada masyarakat setempat. Dari titik itu, mereka secara tidak langsung terdedah dengan isu, dilema dan masalah yang kerap berlegar di medan diskusi masyarakat urban.

Puisi Jack Malik misalnya mengingatkan betapa bahasa dan kata-kata menggambarkan seluruh kandungan hidup manusia. Si Jasad Bersiung pula merembeskan tenaga dalam deklamasi sajak energetiknya. Begitu juga M Ashikin yang membawa pengalaman percintaan sebagai lumrah yang berupaya mengajak kepada patriotisme.

Tidak ketinggalan juga persembahan muzik alternatif individu dan berkumpulan yang menjalinkan not-not bunyian alat muzik menjadi sesuatu yang sangat harmoni.

DSC_1822Kumpulan Anak Kayan menerusi lagu-lagu rakyat Pahang pula menghidupkan kembali semangat kedesaan  yang sekian lama ditinggalkan sedangkan suatu masa dahulu, irama itulah menjadi teras manifestasi keharmonian dan kebijaksanaan orang tua kita berhibur dahulu kala.

Kehadiran lima aktivis Dapur Jalanan Kuala Lumpur yang mengisi slot  siap berkampung seawal jam 5 pagi. Mereka yang sekian lama berbakti kepada warga miskin kota Kuala Lumpur sejak awal tahun 2013 berkongsi sejarah, pengalaman dan realiti cabaran hidup yang diharungi warga miskin kota saban hari.

Perkongsian itu menjadi begitu menarik kerana ia dilakukan secara santai sambil-sambil menyediakan bahan masakan. Ia sedikit sebanyak memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman menyediakan makanan. Apatah lagi, Dapur Jalanan turut menyumbang “Sup Cendawan Air Tangan Suci Gadis Kota” untuk dikongsi bersama pengunjung pesta.

Penulisan alternatif seperti zine atau buku indie yang menjadi wadah percambahan idea dan jiwa membara anak-anak muda antara yang diketengahkan pada keramaian, menerima sambutan hangat.

Tayangan filem pendek Viral, Sial! oleh Edry Faizal yang mengangkat tema dilema rakyat Kelantan pasca banjir besar 2014 dan respon balas pengguna media sosial terhadap video satira hudud oleh Aisyah Tajuddin menghadirkan suasana kritikal dalam menilai semula sisi pandangan yang acap kali dipinggir dan diremeh banyak pihak.

DSC_1809Sedikit sebanyak filem pendek itu mendedahkan masyarakat tentang persoalan prinsip ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’, kesamarataan gender dan keadilan sosial.

Barang kali, paling unik dalam pesta tersebut ialah penyediaan sebuah perigi bagi memberi peluang pengunjung dari kota merasai pengalaman mandi air telaga. Mungkin bagi sesetengah pihak ia dilihat biasa, namun kebanyakan pengunjung mengakui itulah pertama kali merasai pengalaman seasyik itu.

Inilah antara matlamat penting mengapa Pesta Ngulor dianjurkan di kampung yang berkongsep kedesaan.

Pendek kata, Pesta Ngulor menjadi temasya yang mengadun kesenian, kebudayaan, kemasyarakatan dan penulisan sebagai wadah anak muda berkongsi idea, sekaligus meruntuhkan benteng kelas sosial dan diskriminasi intelektual, seni dan sastera alternatif.


Pengarang :