Selangorkini
SELANGOR

Selangor tidak perlu ‘melutut’ di White House

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 17 SEPT: Kerajaan Negeri tidak perlu ‘melutut’ untuk meraih pelaburan baru di Selangor, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, keadaan sebaliknya dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak menerusi lawatan rasmi ke Amerika Syarikat, baru-baru ini.

“Apabila pelabur ini melihat Kerajaan Negeri telus dan berintegriti, pelabur ini bukan sahaja bersetuju untuk mengekalkan pelaburan semasa di Selangor, tetapi memilih untuk melanjutkan operasi pelaburan mereka di sini.

“Jadi perkara ini rakyat boleh menilai, mengapa perlu berlutut kepada Trump dalam soal pelaburan?” sindir Mohamed Azmin ketika ditemui pemberita pada Forum Malaysia Baru oleh Dato’ Menteri Besar, di Muzium Sultan Alam Shah, di sini, petang semalam.

ekonomi-selangor-newTerdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan di Rumah Putih bersama Presiden Donald Trumph – didakwa sebagai simbolik lembaran baharu 60 tahun Amerika Syarikat yang menjalinkan hubungan dua hala bersama Malaysia.

Media tempatan melaporkan, pertemuan itu merangkumi mesyuarat delegasi melibatkan anggota dan penasihat pentadbiran Trump serta para menteri dan pegawai kanan kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, Reuters melaporkan, lawatan memberi isyarat tertentu ketika siasatan jenayah oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mengaitkan Najib masih berjalan.

Pada masa sama di Selangor, Mohamed Azmin mengumumkan sebuah syarikat pelaburan Amerika Syarikat bersetuju untuk mengembangkan jumlah pelaburan di negeri itu dalam masa terdekat.

Difahamkan, projek berkenaan menumpukan kepada industri pembuatan Aeroangkasa meliputi bidang Maintenance, Repair and Overhaul (MRO) Activities, di Subang.

Bagaimanapun, pengumuman rasmi akan dibuat selepas perjanjian baru dimuktamadkan awal Oktober ini.

=EZY=


Pengarang :