SASTERA

Tangga ke syurga

OLEH LOKMAN HAKIM

Dataran aneh itu merupakan tempat untuk menonton panorama indah di puncak gunung. Mereka dahulu mampu menaiki dataran itu dengan tangga. Kini tidak lagi. Ada seorang lelaki yang menghuni dataran itu. Dia telah membina halangan sehinggalah tangga panjang yang membawa mereka ke dataran tidak lagi dapat digunakan. Ada berbongkah-bongkah batu pelbagai saiz dan rupa telah diletakkan di setiap anak tangga yang ada. Bongkah-bongkah itu mempamerkan ilusi. Cukup mengelirukan.

Jika dilihat seimbas, tangga itu tampak seperti boleh dilalui. Namun bila dicuba, tangga itu akan menyesatkan sesiapa yang menaikinya. Ramai yang tergendala geraknya lalu terkurung di antara bongkah-bongkah rawak yang memenuhi anak tangga tersebut. Mereka mati begitu sahaja.

Akhirnya sebuah tembok didirikan di hadapan tangga tersebut untuk mengurangkan bilangan korban. Walaupun begitu, tidaklah bermakna apa yang terjadi di atas dataran aneh itu tidak diketahui sama sekali. Lelaki yang menghuni dataran itu menurunkan sebuah paparan skrin yang begitu besar agar panorama indah di sekitar dataran boleh dinikmati orang-orang di bawah dataran. Tindakan itu dipersetujui sebilangan penduduk, tetapi tidak semua.

Ada yang beranggapan, paparan skrin itu memaparkan penipuan. Ada yang berspekulasi bahawa lelaki di atas dataran aneh itu sedang menarah sumber alam di sana untuk kepentingan peribadi. Tidak kurang juga yang menuduh lelaki itu menyimpan rahsia alam yang boleh memakmurkan kehidupan masyarakat di bawah dataran. Akhirnya paparan skrin itu dipecahkan.

Rusuhan berlaku. Tembok diruntuhkan. Bongkah-bongkah batu yang pelbagai sifatnya diletupkan hingga tangga itu jelas kelihatan laluannya. Sementara itu, lelaki di atas dataran aneh itu sedang gelisah. Dia tahu dataran itu tidak sesuai dikunjungi selalu oleh sejumlah besar manusia. Tambahan pula dataran aneh itu tidak lebih daripada kepingan ais tipis yang kian menipis dari hari ke hari.

Manusia di bawah sana terlalu rakus membuat pembakaran terbuka dan mencemarkan alam. Apabila dirosak tempat kediaman sendiri, boleh pula berkehendakkan taman yang damai. Fikirnya, biarlah dia menjadi penjaga tempat itu dan berkongsikan keindahannya dengan orang di bawah sana dengan menayangkan paparan video terkini dari semasa ke semasa.

Mendengar kekecohan dari anak tangga yang telah lama dihadang itu, dia tahu dia tidak akan dapat menghalang mereka. Dalam keadaan gelisah, dia segera mempersiapkan helikopter untuknya segera terbang dan meninggalkan dataran itu. Dia tahu, sebaik sahaja orang-orang itu berjaya menceroboh dataran, tempat itu akan runtuh.

Bukan sekadar runtuh, tetapi kehancuran dataran itu akan turut memusnahkan kota di bawahnya. Tangga akan punah. Kota yang didirikan orang-orang itu akan hancur lebur kerana dataran yang diceroboh itu sebenarnya tonggak pada kewujudan kota.

Namun begitu, tidaklah hal itu menjadi satu kerahsiaan. Dia sentiasa berkongsikan perihal hakikat dataran itu melalui paparan skrin. Malangnya mereka tidak mahu percaya. Mereka lebih gemar menelan fitnah dari kebenaran. Apakan daya, fitnah itulah yang enak dilahap. Lemak manis dan turut menyebabkan penyakit jiwa.

Tidaklah dia berniat untuk lari begitu sahaja. Helikopter kini ligat berputar bilah kipasnya, bersedia untuk diapungkan. Untuk kali terakhir ini, dia mahu menghalang orang-orang itu. Benar, dataran itu akan runtuh. Tidaklah bermakna dia harus menyerahkan takdir kehancuran dataran itu bulat-bulat pada Tuhan. Selagi dia berupaya, dia percaya dia mampu mengubah takdir buruk itu.  Tambahan pula dataran itu dan juga kota di bawahnya merupakan tanahairnya. Tanah tumpah darahnya.

Tangga yang berjumlah 1957 buah anaknya telah diruntuhkan halangannya. Bongkah-bongkah batu yang hancur berselerakan memenuhi lantai kota tanpa ada sesiapa pun sudi membersihkannya. Dengan berbekalkan pembesar suara, dia bertempik:

“Berhenti! Berhenti! Dataran akan roboh kalau semua naik ke mari!”

Disahut pula oleh orang ramai yang sudah tiba di anak tangga yang ke-1950.

“Oh hoi! Kami nak ambil alih dataran dari penjaga tamak haloba!”

Dibalasnya pula sahutan dengan harapan mereka akan bertoleransi dan memahami niatnya mahu menghalang mereka itu.

“Berhenti! Berhenti! Seorang demi seorang dahulu! Jangan berebut!”

“Oh hoi! Ingat kami percaya dengan penipu?”

Orang-orang itu pun segera melonjak pantas ke atas dataran. Lantainya segera merekah tetapi akibat kebisingan orang-orang yang tidak sabar itu, mereka tidak menyedarinya. Lelaki itu memutuskan dia tidak akan dapat menyelamatkan mereka. Tanpa berlengah, dia segera menuju ke arah helikopternya dan segera mengapung tinggi.

Perlahan-lahan lantai dataran yang retak itu menyendeng. Laluan keluar ke tangga pun runtuh. Orang ramai yang terperangkap di atas dataran mula jatuh bersama kepingan-kepingan yang tipis. Kota mereka kini dihujani tubuh-tubuh orang angkuh yang tidak mahu mendengar kata-kata lelaki tadi.

Sementara itu, lelaki di dalam helikopter hanya mampu menyaksikan bagaimana dataran tipis yang membolehkan orang-orang itu melihat dunia luas kini menjadi senjata yang memusnahkan kota. Dataran yang runtuh itu meleburkan kota dan penduduknya dalam masa seimbas.

“Aku patut pakai paparan skrin yang lebih jelas. Mungkin aku patut pakai sistem giliran, bagi seorang demi seorang jaga tempat ini. Tapi tak apalah, benda dah jadi juga. Kota dah runtuh, dataran dah tak ada. Cari tempat baru sajalah.”

Helikopter membelah langit mencari tanah baru dengan harapan orang-orangnya lebih berakal dari warga kota yang tak berfikir panjang itu. Kesal bertunas dalam jiwanya kerana gagal menyelamatkan orang-orang itu dan mendidik mereka.


Pengarang :