PELANCONGAN SELANGOR

Terokai percutian hijau Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 SEPT: Selangor mengalu-alukan kedatangan pelancong antarabangsa dan tempatan untuk merasai pengalaman sebenar percutian hijau di negeri itu.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, faktor iklim tropika negeri mampu menarik pelancong untuk meneroka keindahan bumi Selangor.

“Jika anda merancang untuk bercuti dan ingin menempah tiket yang mahal ke destinasi jauh, tunggu dulu, kerana iklim tropika di Selangor bakal mengubah pandangan anda.

“Selangor dipenuhi dengan keajaiban alam semula jadi yang menakjubkan dan mampu membuatkan pencinta alam semula jadi sukar untuk membuat keputusan mengenai pengembaran luar mereka yang seterusnya,” katanya.

Taman Botani1Beliau berkata, keindahan flora dan fauna hutan negeri kini amat popular dan kerap menjadi destinasi pilihan bagi tujuan destinasi eko-pelancongan.

“Eko dan alam semula jadi merupaakan antara tarikan utama pelancongan Selangor kerana bukit dan gunungnya yang mempamerkan personaliti berbeza.

“Antaranya FRIM, Taman Botani Negara Shah Alam, Hulu Selangor dan Hulu Langat yang popular kerana keindahan semula jadi di smping kekayaan flora dan fauna,” katanya.

Tahun lalu, Selangor tampil dengan kempen Discover Selangor dengan tagline ‘Heart of Malaysia’ sebagai landasan dalam usaha mempromosi Selangor di peringkat global.

Kempen berkenaan memberi tumpuan kepada kekuatan Selangor dalam ‘lifestyle spot’, peluang perniagaan, perkhidmatan sektor MICE (Meetings, Incentives, Conferencing, Exhibitions), sukan dan kesihatan.

Keberkesanan kempen itu menyaksikan jumlah kedatangan pelancong tempatan dan asing ke Selangor meningkat 1.5 peratus kepada 4.3 juta bagi tempoh Januari hingga September, tahun lalu.

Jumlah itu mengambil kira tempoh sama tahun 2015 lalu melebihi sasaran pengunjung 7.1 juta.

=EZY=


Pengarang :