Selangorkini
NASIONAL

Teruja saksikan 1,000 nama & gambar perasuah dipamerkan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 SEPT: Kartunis terkenal negara, Gayour atau nama sebenarnya Mazli Ibrahim teruja menyaksikan pameran yang memaparkan nama-nama dan gambar mereka yang pernah didapati bersalah oleh mahkamah atas tuduhan rasuah.

Gayour berkata, nama dan gambar perasuah itu dipamerkan pada ‘Jakarta International Book Fair’, Pameran Seni Lawan Korupsi dan Pameran Seribu Kartun Anti Korupsi’ yang berlangsung di Jakarta baru-baru ini.

“Perkara ini menyedarkan pengunjung bahaya rasuah dan akan menjauhi rasuah kerana sudah tentu mereka tidak mahu nama dan gambar mereka dipamerkan di situ.

“Di samping itu, pengunjung juga boleh mendidik anak-anak muda dengan memberitahu mereka, kalau tak mahu gambar dipamerkan, jangan terlibat rasuah,” katanya kepada Selangorkini di sini.

IMG-20170915-WA0008Jelas kartunis yang terkenal dengan komik ‘Bersama Selamanya’ dalam majalah Ujang itu, keadaan ini membuktikan karyawan mampu memainkan peranan lebih besar sekiranya diberikan kebebasan berkarya.

Katanya, sebaliknya ruang kebebasan berkarya di Malaysia jauh ketinggalan berbanding di Indonesia.

Gayour memulakan kariernya sebagai kartunis sekitar 1980an di majalah Geli Hati sebelum berpindah ke majalah Gila-gila dan Ujang.

Antara watak kartun yang paling sinonim dengan beliau adalah Amar di dalam siri Bersama Selamanya, seorang ‘rockers’ meminati muzik genre heavy metal dan thrash dan berambut panjang namun mengamalkan kehidupan sihat tanpa alkohol dan dadah.

=EZY=


Pengarang :