SELANGOR

176 peluru 9mm jenis SME-8-02 ditemui bertaburan

SHAH ALAM 2 OKT: Sebanyak 176 butir peluru 9mm jenis SME 8-02 ditemui bertaburan di Jalan Batu 14 menghala Jalan Ampang berhampiran tempat pembuangan sampah Hulu Langat, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusof berkata peluru berkenaan ditemui seorang lelaki yang berbasikal ketika melalui kawasan itu pada kira-kira jam 9.10 pagi, lapor BERNAMA.

“Beliau ternampak ketulan besi berupa peluru dan terus menghubungi 999 untuk maklumkan perkara tersebut kepada polis.

“Sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Kajang dan Balai Polis Batu 14 membuat pemeriksaan di lokasi berkenaan dan menemui 176 butir peluru bertaburan di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan.

Peluru ditemui2Menurut Ahmad Dzaffir, tiada tempat latihan menembak dan tempat lapang sasar berhampiran kawasan itu dan polis juga tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berkaitan kehilangan peluru.

Semua peluru dihantar ke Bahagian Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor untuk pengesahan dan ujian.

=EZY=


Pengarang :