SASTERA

Aku setia menunggu senja

Kau memilih pagi

kerana katamu masa terbaik

harus pada saat mentari naik

untuk melepaskan kata-kata sakti

tanpa perlu bertangguh lagi

agar metamorfosis budaya

terjadi segera di lembah nyata

melepaskan hutang beban

tuntutan zaman

 

Aku setia menunggu senja

untuk menuai keranuman bicara

seperti burung yang sabar

menanti detik terbaik pulang ke sarang

kerana masa bukanlah sarung kosong

mengandung zuriat sia-sia

tetapi sebuah kepompong magis

yang memeram tenteramkan wacana

agar lebih matang dan manis.

 

ABIZAI

Miri, Sarawak


Pengarang :