SASTERA

Apa-apa yang ditambah kosong

Oleh Syafiq Ghazali

VERSI pendek cerita ini begini: seorang lelaki menentang sesuatu yang sudah menjadi institusi lalu dipenjarakan.

Versi panjangnya bermula dengan premis: apa-apa yang ditambah dengan kosong akan menghasilkan sesuatu. Bahagian hujung premis inilah yang menjadi akar persoalan; yang kemudiannya tumbuh menjadi menjadi sebuah ideologi atau dalam konteks cerita ini, dua ideologi.

Dasar ideologi pertama adalah apa-apa yang ditambah kosong akan menjadi kosong (lebih mudah dijelaskan melalui formula 1 + 0 = 0); dan ideologi kedua pula mengatakan apa-apa yang ditambah kosong akan menghasilkan apa-apa (formula 1 + 0 = 1).

Dan di sebuah kota bernama Ou Tis, untuk berdekad-dekad lamanya (ada catatan mengatakan berabad-abad, tapi ia tak penting),  dua ideologi ini bersaing rancak dan perdebatan serta perbahasan tidak lagi dapat dielakkan, sama ada secara rasmi atau sekadar inti perbualan di tempat-tempat makan. Asas hujah pengikut 1 + 0 = 0 adalah formula lawannya itu tidak sah dan tidak patut wujud kerana bilangan 0 tidak pernah ada. Ia tiada bentuk dan nilainya tidak dapat diukur secara nyata. Bilangan dimulai dengan angka 1 dan bukannya 0, tambah mereka. Maka mustahil untuk menisbahkan sesuatu yang ada dengan yang tiada, apatah menambahnya; penyokong 1 + 0 = 1 pula membantah dengan mengatakan bahawa bilangan 0 itu wujud kerana apa-apa yang memiliki nama semestinya wujud,  walau ia tidak mempunyai bentuk secara nyata. Dan kerana itu mereka percaya formula mereka lebih logik: betul bilangan 0 tidak akan menjejaskan bilangan 1 — kerana sifatnya yang kosong — dan sama sekali tidak dapat menambah atau mengurangkan nilai akhir bilangan 1, namun kehadirannya dalam persamaan itu masih perlu, malah wajib, kerana hanya dengan cara itu nilai 1 pada akhir persamaan itu dapat dibuktikan wujud.

Namun sudah mengikut adat persaingan ada menang kalahnya; setelah sekian lama salah satu ideologi itu mendominasi lebih baik, dan perlahan-lahan diterima sebagai cara hidup penduduk Ou Tis. Yang mendominasi itu adalah ideologi 1 + 0 = 0 dan penerimaannya berlaku secara alami. Dalam pemikiran kolektif mereka, adalah lebih mudah menerima apa yang tiada berbanding apa yang ada, kerana sesuatu yang tiada itu adalah sesuatu yang tidak perlu difikirkan.

Lalu ideologi itu diterap dalam kehidupan seharian warga Ou Tis, dan sebaik ia menjadi sebuah institusi yang termaktub dalam perlembagaan, ideologi satu lagi pun diharamkan. Ia disambut dengan sorakan oleh pendokong ideologi 1 + 0 = 0 dan tentu sekali, cemuhan dari pengikut 1 + 0 = 1. Kemudian sesuatu yang radikal berlaku: terjadi tangkapan besar-besaran para Bijaksana 1 + 0 = 1 dengan alasan pengaruh mereka boleh menyesatkan warga Ou Tis. Bantahan malah rusuhan oleh pengikut 1 + 0 = 1 berlangsung, berhari-hari, namun akhirnya kebanyakan mereka ditangkap dan dihumban ke dalam penjara.

Dan salah seorangnya adalah lelaki yang menjadi pengikut 1 + 0 = 1 hanya kerana orang di sekelilingnya menganuti ideologi itu dan bukan kerana dia arif tentang duduk perkaranya. Dia terlalu sibuk dengan kerja untuk berfikir selain itu. Dia masih kebingungan waktu sojar mengetuk pintu rumahnya dan mengheretnya ke penjara. Dan bingungnya tetap belum mati waktu dirinya disumbat ke dalam kurungan, bersama pengikut 1 + 0 = 1 yang lain.

Beberapa musim berlalu dan kematian menjengah ke dalam penjara, tapi ia tak pernah mendekati lelaki itu. Akhirnya dia seorang diri menjadi penghuni di situ. Melihat masa bukanlah salah satu hak istimewa yang dia perolehi, jadi dia tak tahu sudah berapa lama dia terkurung atau berapa umurnya kini. Masanya lebih banyak terisi dengan tidur, dan dia lakukannya bukan kerana keletihan tubuh tetapi kerana kesepian.

Satu malam dia terjaga dan mendengar satu suara yang tak jelas dan berkutil-kutil persis rintihan orang yang selalu dilibas cemeti berduri. Dia mencari punca suara itu dan mendapati ia berpunca dari dalam dirinya. Ia suara kesepiannya. Dia menekup telinganya, cuba menyekat suara itu dari imaginasinya, dan sehingga matahari tercuit dari perut bumi dan ayam melaungkan kokokan, dia masih melakukannya.

Kemudian ia bertambah teruk: satu pagi dia disergap sawan. Sebabnya dia tak dapat merasa dirinya sendiri. Dia meragui sentuhan tangan dan pandangan matanya. Dia fikir mustahil untuk buktikan kewujudan diri melalui pengetahuannya sendiri; ia hanya boleh dilakukan melalui pengetahuan orang lain, dan itu hanya boleh terlunas jika ada orang yang bercakap atau menyentuhnya. Tapi dia kini seorang diri.

Pada saat dia hampir menjadi gila, dia pun mula berdoa — sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini. Dia berdoa agar diberi kebebasan dari seksaan yang tiada penghujung itu, atau jika pun tidak, jawapan asal kepada persoalan yang mencetuskan segala pertelingkahan ini, jawapan yang bersifat elemental dan belum dikusut-rumitkan zaman.

Lalu pada satu malam dia bermimpi, dan di dalamnya dia melihat seekor kuda putih berlarian di sebuah padang hijau, saiznya cuma sebesar ibu jari. Sebaik terjaga, dia meneka bahawa doanya telah dimakbulkan dan mimpi itu merupakan satu-satunya jalan keluar buatnya.  Dia meneruskan doa dan dalam mimpi keduanya dia mengejar kuda itu. Namun hanya pada mimpi keempat dia berjaya menangkap kuda itu lalu menyimpannya ke dalam saku bajunya. Dalam mimpi kelima kuda itu meronta-ronta dan meringkik-ringkik. Lelaki itu, kerana kasihan, melepaskan ia kembali ke tengah padang. Masuk mimpi keenam, kuda itu menghampirinya dengan sendiri dan di sisinya, ia membesar sebagaimana layaknya seekor kuda. Dalam mimpi ketujuh dia menunggang kuda itu dan menuju ke suatu tempat, namun pada mimpi seterusnya, kerana merasa kasihan melihat kuda itu lelah, dia turun dan sekadar mengheret tali kekangnya.

Pada mimpi kesembilan, setelah satu perjalanan yang panjang, kuda itu membawanya ke sebuah pintu. Ia berwarna emas dan kelihatan begitu majestik. Lelaki itu buat keputusan untuk membukanya tetapi hanya dalam mimpi kesepuluh dia dapat melihat apa yang ada di sebaliknya: tiada apa-apa. Di sebaliknya hanyalah sebuah ruang kosong berwarna putih yang tidak berpenghujung.

Dia menangis hampa namun untuk mimpi-mimpi yang seterusnya dia tinggal di dalam ruang kosong itu, dan pada mimpi yang entah ke berapa, diapun merasa sesuatu. Dia tak boleh melihatnya tapi dia dapat merasanya. Ia sesuatu yang tidak berjisim pada pandangan mata tetapi jelas pada perasaan. Untuk pertama kali, setelah sekian lama, dia berasa gembira malah seronok. Lalu dia buat keputusan untuk menetap di ruang kosong itu untuk selama-lamanya. Keesokannya, waktu sojar penjara mendatangi kurungannya untuk memberi makanan, lelaki itu sudah tiada di tempatnya.


Pengarang :