Selangorkini
NASIONAL

Apa nasib pekerja 5 cawangan Giant ditutup?

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Penutupan lima Pasaraya Giant membuktikan sekali lagi bahawa ekonomi Malaysia bukanlah seindah digambarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara tidak memberi makna sekiranya perniagaan dan rakyat sendiri terus rasa tertekan dengan keadaan ekonomi yang kian meruncing akibat kegagalan pentadbiran Kerajaan.

“Pengenalan cukai GST tidak teratur dan kejatuhan nilai ringgit sehingga mengakibatkan kenaikan harga barang jelas memberi kesan kepada peniaga dan juga pembeli yang semakin berkurangan kuasa membeli.

“Apa akan jadi kepada pekerja Pasaraya Giant, dan ribuan pekerja perniagaan lain yang terlibat dengan mereka?” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kesukaran yang dilalui Giant hanyalah sebahagian daripada krisis yang melanda sektor runcit negara bahkan banyak kedai kecil dan sederhana serta pembekal-pembekal menjadi mangsa.

Katanya, ketidaktentuan ini didakwa berpunca daripada dasar Kerajaan Barisan Nasional yang gagal membela rakyat.

“Pengumuman bajet Perdana Menteri tempoh hari langsung tidak menyentuh isu genting seperti ini, atau memberi solusi kepada masalah rakyat, malah hanya berperanan menjanjikan gula-gula sempena pilihan raya.

“Najib dan BN tidak mampu memulihkan ekonomi negara sendiri, tetapi ada hati pula hendak membantu mengukuhkan ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat.

“Pemimpin yang tidak merasai realiti masyarakat seharusnya dipencenkan kerana mereka hanya berbuat sesuatu untuk kepentingan sendiri, sementara rakyat terus menderita,” katanya.

=EZY=


Pengarang :