Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Bajet 2018: Jangan pinggir golongan bawah, sederhana

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 OKT: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berharap Bajet 2018 yang bakal dibentangkan, Jumaat ini memberi lebih inisiatif kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) dan bawahan (B40), bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, seperti dijangka, bajet Kerajaan Persekutuan lebih bersifat ‘bajet pilihan raya’ untuk memancing undi, namun menegaskan pengagihan hasil perlu dilakukan secara sistematik.

“Kita memang mengharapkan kerajaan melakukan beberapa pendekatan, terutama dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Kali ini kita mengharapkan golongan M40 juga diberi tumpuan kerana mereka menghadapi masalah sama seperti kumpulan B40.

“Kerajaan boleh menggunakan pendekatan memberi pengurangan cukai pendapatan dan pelepasan cukai bagi golongan tertentu,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, pengumuman Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) paling dinantikan setiap kali pembentangan bajet tetapi beliau mengharapkan pengagihan secara berperingkat itu diberikan dalam bentuk modal supaya rakyat boleh menambah pendapatan isi rumah.

“BR1M perlu diagihkan secara sisitematik. Jika dahulu RM1,200 diberikan secara tiga peringkat, FOMCA berpandangan lebih baik ia diberi dalam bentuk wang tunai dan kupon makanan yang boleh ditebus di kedai tertentu atau simpanan amanah saham.

“Jika dahulunya ada cadangan wang BR1M digunakan membeli kereta Proton Iriz untuk rakyat buat Uber, mungkin bagi tahun hadapan wang itu boleh diberikan menerusi pakej pembelian kendera saji (food truck) supaya mereka boleh berniaga dan menambah pendapatan,” katanya.


Pengarang :