Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Bangunan akademik baru KUIS tampung keperluan pelajar

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 9 OKT: Proses pembinaan bangunan akademik baru Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) menelan belanja kira-kira RM27.2 juta, bermula 7 September lalu dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri mengambil berat berkenaan pembinaan projek itu dan sudah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta KUIS memantau kerja pembangunannya.

“Kita mahu memastikan jadual projek ini mesti dipatuhi secara ketat dan tanpa kelewatan yang akan memberikan kos tambahan.

“Ini perlu dielakkan sama sekali,” katanya kepada media selepas Majlis Pecah Tanah Bangunan Akademik Baru KUIS, di sini, hari ini.

Seperti institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri yang lain, katanya, Kerajaan Negeri turut memberi pinjaman mudah kepada KUIS untuk memacu pertumbuhan dan kemajuannya, pada tahun ini.

LRM_EXPORT_20171009_104351-1280x853“Kita memberikan RM42 juta yang merangkumi pembangunan untuk bangunan akademik baru ini, manakala selebihnya bagi menaik taraf kemudahan lain,” katanya.

Pembinaan bangunan akademik baru tiga tingkat itu bakal menempatkan 4,254 pelajar, pada satu-satu masa dengan kemudahan bilik tutorial, bilik seminar, bilik pensyarah dan ketua program, makmal komputer serta dewan kuliah yang boleh memuatkan 200 hingga 500 pelajar.

Ia akan mengurangkan masalah kekurangan bilik kuliah dan tutorial kesan daripada pertambahan pelajar KUIS yang meningkat setiap tahun serta memerlukan suasana pembelajaran juga pengajaran kondusif bagi keselesaan pelajar.


Pengarang :