BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 2018: Peningkatan kualiti ekonomi generasi muda diberi fokus

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 OKT: Peningkatan kualiti ekonomi generasi muda diberikan fokus penting dalam Belanjawan 2018 Selangor bagi memastikan ia menepati agenda pembangunan di negeri itu.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata fokus itu penting untuk mengangkat kualiti kehidupan generasi muda supaya lebih berdaya saing dan mampu menepati pasaran tenaga kerja.

“Ini dikaitkan dengan kadar pengangguran tinggi kini yang mendorong Kerajaan Negeri untuk komited menangani isu ini,” katanya kepada pemberita selepas pelepasan pelumba Jelajah Malaysia 2017 di Toyota Motor, Seksyen 15, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya inisiatif baru dilaksana, generasi muda negeri bakal menerima manfaat jangka panjang.

RAKYAT SELANGOR“Saya percaya akan ada inisiatif baru dan kalau ia dapat dimanfaatkan sebaiknya, tentunya kita akan mampu melonjakkan pembangunan sosial generasi muda untuk memenuhi tenaga kerja kini,” katanya.

Terdahulu, dasar pembangunan belia membabitkan 10 teras utama melibatkan keusahawanan dan pekerjaan, kepimpinan dan organisasi, teknologi maklumat dan organisasi.

Ia turut meliputi aspek kemasyarakatan, jaringan kesukarelaan, kebudayaan dan kesenian, kesejahteraan dan kesihatan, sukan dan kecergasan serta agama dan kepercayaan.

Amirudin berkata, usaha bagi merealisasikan keperluan itu dilaksanakan menerusi penubuhan Penggerak Belia Tempatan bagi melahirkan kepimpinan berdaya saing untuk menjadi agen perubahan kepada golongan belia di Selangor.

=EZY=


Pengarang :