Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Belanjawan Alternatif 2018 Pakatan ganti dasar lapuk dan usang BN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Pembentangan Belanjawan Alternatif 2018 oleh Pakatan Harapan memperlihatkan keupayaan gabungan itu untuk menggantikan dasar-dasar usang dan lapuk pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kepelbagaian inisiatif baru di bawah pentadbiran Pakatan mampu memulihkan negara daripada kepincangan dasar-dasar ekonomi dan kewangan negara oleh Umno Barisan Nasional.

Beliau berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi langkah berkebajikan yang disifatkan mampu memberi manfaat jangka panjang kepada seluruh masyarakat Malaysia.

“Kita memulakan usaha pembentangan Belanjawan Alternatif ini pada 2011, semenjak dipimpin mantan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selama lapan tahun berturut-turut, kita kekal beriltizam menyedia dan membentangkan belanjawan alternatif pembangkang yang merupakan penerusan amalan yang tidak pernah berlaku sebelumnya (unprecedented) dalam dunia demokrasi khasnya bagi negara-negara Komanwel.

“Belanjawan Alternatif 2018 ini bertindak sebagai peringatan kepada Umno-BN bahawa kami Pakatan Harapan lebih bersedia dengan idea-idea fiskal, kewangan dan ekonomi yang jauh lebih baik bagi mengurus dan membangunkan Malaysia,” katanya semasa Peluncuran Belanjawan Alternatif 2018 Pakatan di sini, hari ini.

Wan Azizah berkata, Belanjawan Alternatif 2018 ini menggariskan strategi dan tindakan jangka pendek yang perlu diberi tumpuan sekali gus mampu menjadi asas Pakatan Harapan berperanan aktif di dalam perbahasan Dewan Rakyat.

Sementara itu, antara tumpuan pembentangan itu adalah :

1. Pakatan Harapan bertekad menghapuskan rasuah dan pembaziran. Langkah ini dijangka akan menyelamatkan dana awam yang dianggarkan sebanyak RM20 bilion.

2. Penghapusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi membolehkan rakyat tidak lagi terbeban dengan pelaksanaan cukai rakus berkenaan.

3. Kerajaan Pakatan Harapan juga akan menghapuskan tol jalan raya di Malaysia. Penghapusan tol ini akan dilaksanakan menerusi pembelian balik konsesi oleh kerajaan Pakatan Harapan secara berperingkat.

4. Pakatan Harapan bersetuju untuk meningkatkan kadar royalti minyak di negeri Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak pada kadar 20 peratus.

5. Pakatan Harapan juga memberi jaminan bahawa pendidikan awam adalah percuma kepada semua rakyat Malaysia yang berkelayakan merangkumi universiti awam.

=EZY=


Pengarang :