SELANGOR

Bergabung tubuh persatuan lebih kuat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 OKT: Seluruh pangsapuri di Selangor dicadang bergabung di bawah satu persatuan, menerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Badan Pengurusan (MC).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, persatuan yang kuat berupaya melindungi kepentingan pangsapuri dan penduduk secara lebih progresif.

Katanya, ia sekaligus dapat mengelakkan perkara yang membawa kerugian kepada penduduk.

“Diharap ada JMB atau MC yang sanggup mengambil langkah memulakan penubuhan persatuan ini.

“Sekiranya ada persatuan, semua pangsapuri dapat saling sokong menyokong dan bantu membantu, contohnya ketika berhadapan dengan pemaju dalam isu tertentu” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perhimpunan JMB/MC, di sini, hari ini.

Iskandar turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sempena Sambutan Hari Pangsapuri Malaysia Harmoni 2017.

Terdapat tiga kategori dipertandingkan iaitu Anugerah Pengurusan Air, Anugerah K-Inovasi dan Anugerah Laman Hijau.

Terdahulu, lebih 200 hadirin turut berpeluang mengikuti sesi bicara santai ‘From Zero to Hero’ bersama panel terkenal seperti Dato’ Siti Nor Bahyah Mahamood dan suaminya, Wan Akashah Wan Abdul Hamid.

=EZY=


Pengarang :