Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Beri ahli parlimen akses menyeluruh ‘sentuh’ 1MDB – Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Ahli Parlimen sewajarnya diberikan akses secara menyeluruh berhubung perincian kandungan laporan Ketua Audit Negara berkaitan maklumat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kandungan laporan berkenaan penting bagi anggota Parlimen mendapatkan akses jelas untuk berbahas berkaitan isu itu di Dewan Rakyat.

“Kita tidak mahu ada maklumat palsu atau tidak betul disampaikan. Laporan itu tentunya amat penting supaya setiap Ahli Parlimen dapat memberikan penghujahan secara betul berdasarkan fakta.

Terdahulu, Mohamed Azmin mencabar keputusan Ketua Audit Negara yang mengklasifikasikan laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi dan tidak boleh didedahkan kepada umum.

Halangan itu turut terpakai kepada anggota Parlimen di Dewan Rakyat yang disifatkan Mohamed Azmin sebagai mempunyai kepentingan untuk melindungi individu tertentu.

“OSA boleh dipertimbangkan untuk isu keselamatan negara, tetapi tidak boleh digunakan untuk lindungi perasuah dan perlu dibentangkang mengikut Perlembagaan,” kata Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor.

Mohamed Azmin diwakili peguam, Tommy Thomas sementara Kerajaan Malaysia diwakili Peguam, Suzana Atan.

Hakim Mahkamah Tinggi Y.A Datuk Wira Kamaludin Md Said menetapkan 5 Disember depan bagi lanjutan keputusan prosiding kes berkenaan.


Pengarang :