Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Dakwaan Kerajaan Oman menampakkan lompong sistem pendidikan tinggi

OLEH NURUL IZZAH ANWAR

Saya memandang serius tindakan kerajaan Oman yang melarang rakyatnya untuk melanjutkan pengajian ke beberapa buah institusi pengajian awam dan swasta di Malaysia.

Hal ini dibangkitkan atas masalah pendaftaran pelajar dan penyalahgunaan visa pelancong yang dibenarkan oleh institusi terlibat, meskipun ia bertentangan dengan undang-undang sedia ada.

Oleh itu, saya mendesak pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), dengan usaha sama Agensi Kelayiakan Malaysia (MQA) serta institusi pengajian tinggi yang tersenarai agar menjelaskan situasi sebenar dengan kadar segera.

Langkah ini mustahak agar memastikan imej institusi pengajian tinggi di Malaysia tidak terus tercemar dan dipandang remeh.

Isu berkaitan pengurusan dan kebajikan pelajar di institusi pengajian tinggi sewajarnya diberikan perhatian utama oleh pihak pentadbiran, tidak kira sama ada ia membabitkan pelajar tempatan mahupun pelajar warganegara asing.

Bahkan pihak KPT sepatutnya menghargai keberadaan pelajar asing yang melanjutkan pengajian di bumi bertuah ini, kerana mampu menjadi duta kecil Malaysia apabila mereka pulang ke negara asal mereka.

Dalam usaha kita untuk bergelar hub pendidikan tinggi di rantau Asia, kualiti pengurusan dan kaedah kemasukan pelajar daripada negara luar adalah antara komponen yang wajar diperhalusi.

Di pihak pelajar, khususnya mereka yang berasal dari negara luar, kos pengajian yang sememangnya terlalu tinggi tidak perlu dihimpit dengan masalah pendaftaran serta dakwaan melulu disebabkan kelemahan pengurusan institusi yang terbabit.

Maka, saya menyeru Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Pengajian Tinggi agar dapat mengemukakan kenyataan balas terhadap larangan negara Oman, di samping mengetatkan prosedur kelulusan dan pantauan di bawah MQA.

Juga, saya menyarankan kementerian berkenaan agar tampil dengan sistem pengesanan dan pengesahan pelajar yang lebih inklusif, dan tidak bersikap lepas tangan 100% terhadap tanggungjawab ke atas 640 institusi pengajian tinggi tempatan (merangkumi IPT awam dan swasta).

Sesungguhnya pencapaian IPT tempatan bukanlah tertakluk pada peningkatan hasil penyelidikan (yang dilaporkan meningkat sebanyak 7.2% dalam tempoh 6 tahun lepas) atau pun kedudukan global IPT semata-mata.

Isu-isu pelajar, termasuk kadar kenaikan yuran pengajian yang berterusan dan bebanan hutang kos pengajian, serta kontroversi yang timbul (seperti dakwaan pemalsuan sijil diploma dan sarjana muda oleh pihak IPT) juga perlu diselesaikan dengan penuh ketelusan.

Di samping itu, saya menggesa pihak MQA agar meneliti aspek-aspek akademik dan pentadbiran di IPTA / IPTS melalui proses audit yang lebih terperinci. Krisis yang berlaku ini menampakkan kelemahan dalam sistem yang sedia ada sehinggakan kerajaan Oman perlu mengeluarkan larangan terhadap warganya.

Alangkah sipunya jika kita berputih mata dengan istilah ‘Soaring Upwards’, tetapi gagal dalam meyakinkan komuniti global tentang kualiti dan integriti pendidikan tinggi di Malaysia menerusi tatakelola dan urus tadbir MQA yang lebih transparen dan telus.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHAN RAYA BERSAMA, PARTI KEADILAN RAKYAT


Pengarang :