SASTERA

Dan aku memesan secangkir kopi lagi

Oleh Arif Zulkifli

BAPAK aku dah halau aku dari rumah, suaranya perlahan meningkah bingit orang ramai.

Aku alihkan pandanganku dari cangkir kopi hitam pekat di tangan, kepada muka dia. Riaknya bersahaja. Tiada garis hiba. Tiada air mata. Apakah dia sedang bergurau?

Mindaku membentuk wajah bapanya. Seorang imam warak di kawasan perumahan kami. Janggutnya tebal dan panjang hingga mencecah dada. Kata orang, semakin panjang janggut kau, semakin dekat kau dengan Tuhan. Aku tak tahu apa benar kenyataan itu, tetapi aku iyakan saja. Orang yang kurang ilmu agama macam kita ini tak usahlah pertikaikan kenyataan orang-orang agama. Lebih baik angguk dan setuju saja.

Bapa dia tidaklah terlalu tua dan tidaklah terlalu muda. Sedang-sedang saja. Hampir mencecah setengah abad, umurnya. Ya, sering juga aku lihat bapanya di masjid. Tak pernah lokek dengan senyuman. Bibirnya juga selalu basah dengan zikir, puji-pujian pada Tuhan. Dia tinggal bersama-sama bapa dan ibunya. Seorang anak tunggal. Lagilah aku rasakan dia sedang bergurau. Tak mungkinlah, seorang yang baik, warak, dan alim, sanggup menghalau satu-satunya cahaya mata yang dia ada, keluar daripada rumah.

Aku memandang mukanya sekali lagi. Tiada lebam-lebam. Maknanya dia tidak dipukul. Ya, boleh jadi mungkin badannya penuh dengan birat-birat yang aku tak nampak. Tapi mana mungkin seorang yang baik seperti itu memukul anaknya sendiri? Sudahkah aku katakan bapanya seorang imam yang warak? Tak lokek dengan senyuman?

Apa mungkin boleh jadi bapanya disampuk setan?  Yalah, biasanya orang-orang alim ini banyak musuh dalam selimut. Semasa berhadapan nampak saja baik, namun di belakang, bersekongkol dengan setan untuk menghancurkan hidup orang tua itu. Tapi tak mungkin seorang yang alim seperti itu boleh dirasuk setan? Sudahkan, aku katakan bapanya seorang imam yang warak? Bibir basah dengan zikir memuji Tuhan?

Kau bergurau bukan, tanyaku padanya.

Dia menggeleng lemah. Sambungnya, aku memang berharap semua ini hanyalah sebuah canda yang kasar, tapi maaf. Ia bukan. Benda ini memang terjadi. Bapak aku dah halau aku dari rumah.

Tapi kenapa, tanyaku lagi. Rasa ingin tahu semakin menebal. Selama ini aku nampak dia bahagia saja bersama keluarganya. Kenapa benda ini berlaku secara tiba-tiba?

Benda ini terjadi semalam, dia memulakan cerita. Semasa makan bersama-sama bapak dan mak aku, aku beritahu satu rahsia yang telah lama aku simpan daripada mereka. Daripada semua orang. Daripada kau.

Kepala aku terteleng ke kiri sedikit. Rahsia? Apa lagi rahsia yang dia sorok daripada aku, sedangkan kami sudah bersahabat baik sejak daripada kami berumur lima tahun lagi. Aku ingatkan dia dan aku tiada apa lagi yang hendak disorokkan. Tidak boleh tidak, aku terasa terkilan sedikit kerana aku sudah menganggap dia sebagai adik kandung aku. Yang tahu isi hati masing-masing.

Rahsia apa, tanyaku.

Aku lihat dia sudah tidak senang duduk. Sekejap-sekejap dia memusing-musingkan cangkirnya. Sekejap-sekejap dia bermain pula dengan sudu besi. Sekejap-sekejap dia menoleh ke luar kafe.

Dia memandang aku, dan aku membalas pandangannya dengan jungkitan kening kanan, tanda aku masih menanti dia memberitahu apa yang dia mahu beritahu aku. Dia mengeluh, satu keluhan yang dalam, lalu ayat itu meluncur laju keluar daripada mulutnya.

Aku gay.

Satu ayat, dua perkataan, enam huruf, yang bergema keluar daripada bibirnya sehingga hening keseluruhan kafe ini. Tidak lagi aku dengar riuh dari orang sekeliling. Hanya suara dia saja dalam kepalaku. Hanya ayat itu saja yang berlegar-legar di minda aku sekarang.

Laju saja mindaku berpatah balik ke belakang, memainkan memori aku bersama dia. Semasa aku dan dia di sekolah rendah, kami sama-sama wakil sekolah bermain bola sepak. Aku menjadi penjaga gol, manakala dia pula menjadi kapten pasukan sekolah. Semasa di sekolah menengah pula, kami berdua bermain hoki. Aku masih dengan posisi penjaga gol, dan dia masih menjadi kapten pasukan sekolah. Masuk ke alam pengajian tinggi pula, aku berhenti bermain sukan kerana mengalami kecederaan di lutut semasa tingkatan empat, manakala dia masih bermain sukan, kali ini ragbi, mewakili universiti kami melawan universiti lain.

Sepanjang tempoh perkenalan aku dengan dia, tidak pernah sekalipun aku nampak dia tergedik-gedik seperti lelaki lain yang aku tahu memang sukakan lelaki. Dia tidak lembut. Tidak pula dia pernah melakukan hal-hal keperempuanan di hadapan aku. Jadi, bagaimana dia boleh sukakan lelaki?

Atau mungkinkah apa yang dia rasakan itu hanya suatu fasa? Fasa ingin tahu atau fasa keliru dengan identiti sendiri, mungkin kerana pengaruh rakan-rakan atau media massa? Fasa yang dia akan alami cuma buat seketika dan esok-lusa fasa itu akan hilang dan dia akan kembali, ‘normal’?

Atau benda ini memang naluri yang dia sudah rasakan sejak dia kecil lagi? Seperti aku tahu naluri aku yang suka akan perempuan memang telah terbit sejak aku di bangku sekolah lagi, dan mungkin benda yang sama berlaku padanya? Cuma daripada dia sukakan perempuan, dia lebih cenderung untuk sukakan lelaki?

Atau sesuatu pernah berlaku pada dirinya semasa dia kecil dahulu yang menyebabkan dia celaru dengan seksualitinya? Mungkin, simpang-malaikat-empat-puluh-empat, dia pernah dicabul dan disebabkan benda yang terjadi itu yang menyebabkan dia beralih arah untuk mempunyai rasa suka pada lelaki?

Apa yang patut aku lakukan padanya? Pernah aku baca satu artikel yang tular di Twitter, menyatakan seorang yang homoseksual, sepatutnya dipulaukan oleh orang ramai. Malah, menurut artikel itu juga, seorang gay, tidak dibenarkan masuk langsung ke dalam rumah seorang muslim. Apa aku patut lakukan benda yang sama pada dia? Agar dia berubah kembali menjadi normal? Namun, betulkah perkara itu?

Aku tak rasa dengan memulaukan mereka, semua benda akan menjadi lebih baik. Aku tahu agama aku menganjurkan untuk melakukan perkara yang baik-baik saja. Kenapa aku tak rasa memulaukan golongan mereka itu sesuatu yang baik, memandangkan ada benda yang jauh lebih elok yang boleh kita lakukan, seperti menyantuni mereka contohnya?

Dan patutkah kita memaksa seseorang itu menukar seksualiti mereka hanya kerana ia berlawanan dengan norma masyarakat? Apa jadi jikalau ada orang yang memaksa aku untuk menukar rasa suka aku kepada perempuan, menjadi rasa suka aku pada lelaki? Sudah pasti aku tidak akan dapat melakukannya, kerana memang sudah aku dilahirkan untuk menyukai perempuan. Apakah benda yang sama akan dirasai dia?

Dan terus saja aku teringat akan kata-katanya pada awal pertemuan kami tadi. Dia sudah tidak punya siapa-siapa untuk mengadu nasib, melainkan aku. Sungguh, aku mengeji perbuatan bapanya, seorang imam warak yang disampuk setan itu.

Aku letakkan cangkir aku sudah kosong ke atas meja. Wajahnya aku tatap lama. Bibirku meleret, membentuk segaris senyuman, lalu aku tuturkan ayat ini padanya.

Jadi? Aku kisah apa kalau kau gay? Kita masih kawan bukan?

Dan riak bersahajanya retak, mengalirkan segaris air mata jernih di pipi kiri dan kanannya. Dan aku memesan secangkir kopi lagi.


Pengarang :