Exco teguh berdiri belakang MB sokong pendirian tegas Raja-Raja Melayu | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Norway

Wartawan

Nazli Ibrahim

Exco teguh berdiri belakang MB sokong pendirian tegas Raja-Raja Melayu

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 OKT: Exco Kerajaan Negeri berdiri teguh di belakang Dato’ Menteri Besar bagi mendukung pendirian tegas Raja-raja Melayu berhubung isu perpaduan dan hubungan harmoni rakyat Malaysia.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata, hal ini berikutan kemajuan tidak akan dicapai sekiranya tiada rasa hormat menghormati di antara satu sama lain.


“Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dengan masyarakat menganut pelbagai agama dan perlu ada rasa hormat menghormati antara satu sama lain agar wujud keharmonian dalam masyarakat.

“Mereka mesti faham memahami antara satu sama lain, tidak boleh buruk sangka dan tuduh menuduh serta tidak cepat melatah,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, kenyataan Dato’ Seri Azmin Ali itu sangat bertepatan dengan pendirian Kerajaan Negeri yang sentiasa mempertahankan kepentingan semua kaum dan agama di negeri Selangor.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, Ganabatirau Veraman pula berkata, beliau menyokong pendirian Kerajaan Negeri yang menentang golongan ekstremis.

“Memang tepat pada masanya Dato’ Menteri Besar menjunjung titah Raja-Raja Melayu dan menyatakan tiada ruang untuk sebarang ekstremis dalam Malaysia dan Selangor khasnya.

“Saya sebagai Exco yang mewakili kaum India sangat bersetuju dan menjunjung titah Raja-Raja di mana golongan atau individu yang sewenang-wenangnya menggunakan kaum dan agama untuk memperlekehkan pihak lain harus ditolak,” katanya.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini merupakan aset penting Negeri Selangor.

“Kemajmukan rakyat di Malaysia ini adalah aset penting negara dan Selangor khasnya. Inilah sebab kita menjunjung kasih sangat terhadap kenyataan ini kerana Raja-Raja Melayu memahami tentang situasi yang ada di negara kita bahawa kita ini insklusif dan sememangnya benar.

“Orang luar sendiri kagum dengan keharmonian kaum yang ada di Selangor. Penegasan daripada Raja-Raja Melayu ini menambahkan lagi kebenaran hal ini,” katanya.

Jelasnya, tindakan menggunakan isu perkauman oleh sesetengah golongan bagi meraih kedudukan dalam politik merupakan sesuatu yang tidak wajar dan perlu dijauhkan.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next