Exco: Tuduhan lemah urus sampah punca denggi tak berasas | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Norway

Wartawan

Lizawati Madfa

Exco: Tuduhan lemah urus sampah punca denggi tak berasas

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 12 OKT: Tuduhan kononnya pengurusan sampah dan sisa pepejal lemah pendorong utama Selangor mencatatkan kes denggi tertinggi adalah tidak tepat dan tidak berasas, tegas Dr Daroyah Alwi.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga itu berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa bekerjasama erat dengan agensi Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri bagi membenteras gejala Aedes dan denggi secara konsisten.


Katanya, statistik KDEB Waste Management Sdn Bhd yang menguruskan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di tiga PBT turut menunjukkan trend penurunan memberangsangkan dari masa ke masa.

“Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa perkhidmatan kutipan sampah dikendalikan Kerajaan Negeri adalah diurus dengan baik.

“Rekod kadar kematian di Selangor pula hanyalah mencatatkan 0.15 dan ia antara yang terendah di Malaysia dan berada di bawah kadar kematian Malaysia iaitu 0.23,” katanya dalam kenyataan.

Pada 10 Oktober lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata Selangor mencatat rekod tertinggi wabak denggi disebabkan kutipan sampah tidak terurus.

Daroyah berkata, punca utama lain menyebabkan kes denggi menjadi epidemik termasuk kepadatan penduduk dan kebanjiran kira-kira 1 juta buruh asing yang tidak mengambil berat soal kebersihan.

Katanya, denggi juga adalah penyakit urban sering berlaku di bandar besar disebabkan kerancakan pelbagai projek pembangunan.

“Kita lihat sebersih mana negara jiran kita Singapura, mereka turut mencatat kes denggi di sana.

“Maka tidak adil jika statistik denggi ini hanya dilihat dari satu faktor semata-mata, ia perlu dilihat secara menyeluruh,” kata Daroyah.

Data dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan jumlah penduduk Selangor adalah sekitar 6.2 juta orang.

Daroyah berkata, ia tidak termasuk sekitar dua juta penduduk yang bermukim di Selangor seperti pelajar institut pengajian tinggi dan warga luar yang datang bekerja di sini.

“Ditambah dengan bilangan buruh warga asing, Selangor dianggarkan diduduki sekitar 9.2 juta orang,” katanya.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next