Selangorkini
SELANGOR

Hairan Noh Omar tak tahu SPAH bawah KPKT

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 15 OKT: Kenyataan Tan Sri Noh Omar bahawa Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) bukan di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menimbulkan kehairanan.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, menteri penuh itu seharusnya lebih arif dasar di bawah kementeriannya dan bukan semborono lepas tangan.

“Apapun, Kerajaan Negeri tetap bertegas mahu kementerian berkaitan mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan SPAH diselenggara dengan baik.

“Kita tidak mahu ia diabaikan sehingga menjadi kawasan hotspot denggi dan membahayakan nyawa penduduk,” katanya kepada pemberita, selepas menyempurnakan Karnival Sihat Selangor, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Noh bahawa SPAH bukan terletak di bawah KPKT tetapi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

Pada 6 Oktober lalu, Daroyah mendedahkan Jawatankuasa Mesyuarat Tindakan Denggi Daerah Klang, pada 5 September lalu, menemui enam tempat pembiakan nyamuk Aedes di dalam SPAH setiap perumahan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kawalan dan penguatkuasaan lebih ketat di peringkat pelaksanaan untuk mengelak perkara tidak diingini.

Semakan Selangor Kini mendapati, pada 14 April 2011, Berita Harian melaporkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung berkata semua pemaju hartanah diwajibkan memasang SPAH sebelum pelan pembangunan diluluskan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), berkuat kuasa pada September tahun sama.

Katanya, Kabinet dan Majlis Negara untuk Kerajaan Tempatan sudah meluluskan undang-undang itu pada Mei 2011 dan sedang dalam semakan kementeriannya, pada masa itu, sebelum diwartakan PBT.

http://jkt.kpkt.gov.my/jkt/resources/user_30/2016_OKU/SLIDE_SLOT_4_-_PENGENALAN_SPAH.pdf

=EZY=


Pengarang :