Selangorkini
NASIONAL

Hanya Umno mahu Kit Siang jadi PM

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 15 OKT: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng secara sinis berkata, hanya Umno mahukan pimpinan DAP menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan berjaya menawan Putrajaya.

Beliau berkata, parti itu mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal dan sengaja mahu mencetuskan provokasi dan kebimbangan umum.

Kata Guan Eng, realitinya dakwaan itu adalah tidak benar dan bertujuan untuk memburuk-burukkan gabungan Pakatan Harapan yang turut dianggotai DAP.

“Mereka (Umno) cakap Perdana Menteri baru selepas Najib adalah Lim Kit Siang. Sedangkan Lim Kit Siang sudah nafikan, bukan dia.

“Tun Dr Mahathir cakap, bukan dia dan semua cakap bukan mereka tetapi hanya Umno mahu Lim Kit Siang jadi Perdana Menteri,” sindirnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada himpunan antikleptokrasi – Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi bertempat di Padang Timur, Petaling Jaya, malam tadi.

Guan Eng berkata, Umno juga mendakwa kononnya DAP sebagai sebuah parti komunis yang mempunyai pengaruh Chin Peng.

Menafikan dakwaan itu, Ahli Parlimen Bagan itu menyarankan supaya Parti Ketuanan Melayu itu merujuk semula sejarah kedatangan pemimpin Parti Komunis Malaya berkenaan.

“Mereka kata DAP adalah komunis. Chin Peng adalah keluarga kepada Lim Kit Siang dan saya adalah anak saudara Chin Peng.

“Kenyataan ini tidak masuk akal! Nama keluarga saya Lim dan bukannya Chin. Kenapa kata kami sekeluarga?” katanya.

Terdahulu, tafsiran negatif mengenai dakwaan itu tersebar luas di media sosial mengaitkan DAP sebagai sebuah parti bersifat perkauman yang bakal mengenepikan hak Bumiputera sekiranya berjaya mentadbir negara.

Provokasi itu dipercayai dilakukan individu tertentu dengan harapan kononnya mampu mengoyahkan kepercayaan rakyat terhadap parti itu.

=EZY=


Pengarang :