Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Harga rumah tinggi meresahkan rakyat

Isu harga rumah yang tinggi bukanlah isu baru di Malaysia terutama bagi golongan anak muda yang mana ianya telah menambahkan keresahan di samping kenaikan kos hidup yang tinggi ekoran dari masalah ekonomi yang melanda negara.

Menurut anggaran Bank Negara Malaysia (BNM) yang terbaru, terdapat kekurangan sebanyak 960,000 unit rumah mampu milik dan dijangka akan mencecah sehingga satu juta unit menjelang 2020.

1. Rumah merupakan keperluan utama yang perlu dipandang serius oleh kerajaan memandangkan perumahan mampu milik menjadi isu utama yang perlu ditangani oleh kerajaan Umno BN.

2. Rakyat Malaysia terpaksa mengharapkan rumah mampu milik yang dijanjikan oleh kerajaan memandangkan mereka menghadapi pelbagai kekangan terutamanya yang berpendapatan rendah untuk mendapatkan pinjaman bank kerana ianya melebihi kemampuan pembayaran balik mereka.

3. Kebanyakan projek perumahan di negara ini yang tertumpu di kawasan bandar khususnya, pemaju telah menawarkan dengan harga yang terlalu mahal dalam lingkungan RM400 000 hingga ke RM800 000 bagi sebuah apartment atau kondominium. Harga ini dibawah kemampuan kebanyakan rakyat Malaysia yang bergaji RM3000 ke bawah.

Bayangkan sekiranya mereka membeli rumah dengan harga yang tinggi itu, mereka akan membelanjakan lebih separuh daripada wang gaji mereka untuk membayar balik pinjaman bank untuk rumah tersebut. Bagaimana mereka ingin meneruskan hidup dengan baki wang tersebut?

4. Disebabkan perkara ini, kerajaan perlu mengawal peratusan jenis perumahan mengikut harga selaras dengan realiti ekonomi rakyat bagi memastikan sektor perumahan di negara ini mampu dimiliki.

5. Dasar perumahan juga perlu diwujudkan bagi mengatasi kebimbangan rakyat yang tidak mampu membeli rumah kerana kemampuan dan harga sesebuah rumah semakin meningkat dan berterusan menjadi kebimbangan terbesar.

6. Saya juga amat berharap pembentangan bajet 2017 oleh Perdana Menteri pada 27 Oktober depan, beliau akan mengumumkan peningkatan jumlah rumah mampu milik yang dibina oleh kerajaan dan memberi subsidi bagi pembeli rumah mampu milik itu supaya lebih ramai rakyat Malaysia akan memiliki rumah sendiri bagi keselesaan mereka di masa hadapan

 

* Tan Kar Hing, ADUN Simpang Pulai, Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN


Pengarang :