Selangorkini
EKONOMI

Kapten Izham Ismail CEO baharu Malaysia Airlines

SHAH ALAM 21 OKT: Kapten Izham Ismail diumumkan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Malaysia Airlines menggantikan Peter Bellew berkuatkuasa serta-merta, kata Lembaga pengarah Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) dan Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Izham, yang berkhidmat di MAB selaku ketua pegawai operasi (COO), merupakan orang ketiga menduduki kerusi penting itu dalam tempoh dua tahun ini, lapor BERNAMA.

MAB dalam kenyataan berkata Izham akan menyandang jawatan itu mulai 1 Disember 2017 dengan pemergian Bellew.

Menurut MAB, pelantikan Izham sejajar dengan rancangan penggantian kepimpinan dalam pelan pemulihan Malaysia Airlines.

“Bagi memastikan peralihan yang lancar, satu jawatankuasa eksekutif lembaga pengarah akan diadakan untuk tempoh sehingga 6 bulan,” kata MAB.

Jawatankuasa itu akan diketuai Pengerusi Tan Sri Md Nor Yusof, ahli lembaga pengarah Tan Sri Krishnan Tan Boon Seng, Tan Sri Zamzamzairani Isa dan Sheranjiv Sammanthan.

Sebelum menjadi COO pada 2016, beliau merupakan CEO di MASwing yang beroperasi di Sabah dan Sarawak. Beliau mempunyai 38 tahun pengalaman berkhidmat dalam industri penerbangan.

“Beliau memimpin penstrukturan semula bahagian kejuruteraan menjadikan operasi lebih cekap dan kecil, dan bertanggungjawab atas inisiatif penjimatan bahan bakar syarikat penerbangan itu,” kata MAB.

Bellew merupakan CEO warga asing kedua dilantik Khazanah dalam projek penstrukturan dan pemulihan Malaysia Airlines.

Menyertai syarikat penerbangan negara itu pada 1 September 2015, beliau dan CEO sebelumnya, Christoph Mueller, meninggalkan Malaysia Airlines sebelum tamat tempoh kontrak masing-masing.

=EZY=


Pengarang :