NASIONAL

Kenalpasti punca, jangan mudah kaut untung

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 OKT: Kerajaan digesa menyiasat terlebih dahulu punca berlakunya kelewatan pendaftaran kelahiran di negara ini dan bukannya sekadar mengumumkan kenaikkan kadar denda serta-merta daripada RM50 kepada RM1,000 bagi mengekang perkara berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail yang mempersoalkan rasional tindakan berkenaan berkata, situasi itu pastinya menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat yang sedia maklum terbeban dengan kos sara hidup.

“Tindakan kerajaan Umno BN dilihat lebih kepada hanya untuk menambah hasil dengan menaikkan denda pendaftaran lewat kelahiran yang hanya perlu membayar RM50 sebelum ini dinaikkan sehingga ke RM1,000.

“Kerajaan sepatutnya mengenalpasti punca dan masalah mengapa kes-kes kelewatan ini banyak berlaku dan bukannya bertindak rakus dan mencekik darah rakyat yang sedia susah dengan bebanan pelbagai jenis cukai termasuk GST.

“Perkara seumpama ini hanya akan menimbulkan rasa ketidakpuashatian rakyat memandangkan kenaikan tersebut agak tidak munasabah,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai pihak yang bertanggungjawab sekurang-kurangnya mempunyai risalah mahupun kaunter khas mengenai perkara ini untuk meminta mereka yang gagal mendaftar supaya tampil bagi menyelesaikan masalah dengan cara mudah.

Katanya, penerangan ringkas dan langkah segera perlu diambil kerana masalah gagal mendaftarkan ini akhirnya akan menjejaskan masa depan keluarga dan pendidikan anak mereka sekiranya gagal mendaftar.

“Berkemungkinan antara punca lewat didaftarkan adalah sikap ibu bapa yang malu mendaftar kelahiran anak kerana masalah anak tidak sah taraf dan menganggap sijil kelahiran tidak penting malah berkahwin pula dengan warganegara asing.

“Punca seperti ini perlu diteliti bagi memastikan anak-anak mereka memperoleh sijil lahir kerana ketiadaan dokumen terbabit akan menyukarkan pelbagai urusan kelak,” katanya.

 


Pengarang :