NASIONAL

Kenapa tol di Puchong tidak boleh mansuh?

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo mempersoalkan tindakan Kerajaan Persekutuan yang enggan memansuhkan tol di Puchong sedangkan ia sudah dibangkitkan sekian lama.

Menurutnya, alasan perjanjian sudah ditandatangani sering digunakan setiap kali ia dibangkitkan sedangkan dalam Bajet 2018, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mengumumkan pemansuhan dua buah tol di Selangor.

“Kenapa tol di Puchong tidak boleh dimansuhkan? Sudah 10 tahun saya bangun di sini meminta ia dihapuskan.

“Alasan yang diberikan perjanjian sudah ditandatangai. Kalau kita tengok kesesakan trafik teruk berlaku setiap hari,” katanya.

Katanya, Kerajaan Persekutuan sepatutnya membuat kajian mengenai masalah trafik yang melanda Puchong selain dikelilingi jajaran tol.

Pada Bajet 2018, Najib mengumumkan pemansuhan dua tol di Selangor sepanjang Lebuhraya Persekutuan di Batu Tiga dan Sungai Rasau bermula 1 Januari 2018.

Pemansuhan dua lagi tol akan turut berkuatkuasa di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Eastern Dispersal Link, Johor.

=EZY=


Pengarang :