Selangorkini
SELANGOR

Kerajaan Negeri sedia bantu asrama tahfiz terbakar

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 23 OKT: Kerajaan Negeri sedia membantu asrama penginapan pelajar Akademi Tahfiz Ihya Ul-Quran, Kampung Bukit Lanchong, di sini yang terbakar, semalam.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, ia selaras hasrat Kerajaan Negeri menjaga kebajikan semua, terutama membabitkan insitusi pengajian dan pendidikan.

Katanya, Kerajaan Negeri juga amat mengambil berat perkara membabitkan anak muda yang merupakan penentu masa hadapan agama, bangsa dan negara.

“Kita akan teliti bentuk bantuan sesuai sebelum memutuskan dan menyerahkan bantuan kepada mereka.

“Bukan sekadar ‘one off’, Kerajaan Negeri juga bakal mengumumkan beberapa bantuan untuk pusat tahfiz di Selangor menerusi Belanjawan 2018 nanti,” katanya kepada SelangorKini.

Kira-kira jam 8.15 malam tadi, api dilapor mula marak di asrama penginapan pelajar Akademi Tahfiz Ihya Ul-Quran dan berjaya dipadam sepenuhnya, kira-kira jam 9.30 malam oleh pasukan bomba.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beberapa inisiatif bakal diumum dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2018, khusus untuk pusat tahfiz di Selangor.

Sebanyak 226 pusat tahfiz milik persendirian berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan lebih 16,000 pelajar.


Pengarang :