Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerjasama strategik IJN & SELGATE perkukuh kepakaran

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT : IJN Holdings Sdn Bhd memeterai kerjasama strategik bersama SELGATE Corporation Sdn Bhd bagi melebar kepakaran dalam bidang perawatan jantung dan penjagaan kesihatan, menerusi pembangunan Hospital Pakar IJN Selgate.

Memorandum persefahaman ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Holdings, Datuk Seri Dr. Mohd Azhari dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SELGATE, Noor Hisham Mohd Ghouth.

Pemeteraian memorandum turut disaksikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Laman PKNS, pagi ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman; Exco Kerajaan Negeri, Dr Daroyah Alwi, Amirudin Shari dan Dato’ Iskandar Abdul Samad.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Noraida Mohd Yusof dan Pengerusi IJN Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Dato’ Sri Abdul Aziz Kasim.

Sementara itu, Mohamed Azmin dalam ucapannya berkata, pembangunan hospital berkenaan mampu meningkatkan lagi akses perkhidmatan kesihatan negeri.

Katanya lagi, keperluan itu juga seiring komitmen Kerajaan Negeri memastikan rakyat Selangor mendapat akses kesihatan terbaik kini.

“Ini merupakan usaha strategik dalam meningkatkan sasaran kesihatan yang berkualiti di Selangor.

“Ia seiring dengan dasar Kerajaan Negeri untuk menambah baik keperluan aspek pembangunan keadilan sosial.

“Malah, pembangunan ini akan meletakkan Selangor sebagai pemain penting dalam aspek kesihatan di negara ini,” katanya.

Terdahulu, Hospital Pakar IJN dicetus bagi memenuhi permintaan penjagaan kesihatan sekali gus diyakini mampu meningkatkan jaringan penjagaan kesihatan swasta di Selangor.

Ia merupakan sebuah hospital ‘multi-disiplin’ dengan pusat ‘cardiac’ yang dibangunkan secara berfasa dengan jumlah 259 katil.

Bakal memulakan operasinya menjelang suku keempat 2020 dengan kos pembangunan sekitar RM250 juta, ia direka bentuk sebagai bangunan hijau dan pengurusan sumber efisyen.

Hospital berkenaan akan dibina di bawah kerangka pembangunan SELGATE Medical City, Seksyen 13, Shah Alam.

=EZY=


Pengarang :